Arnab Jadi Tarikan Pelancong Di Ranau

0
452
Gambar: Berita Harian

Bermula hanya sekadar hobi memelihara arnab sewaktu masa lapang siapa sangka perkampungan arnab milik seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjadi suatu tarikan untuk pelancong yang sampai ke Ranau, Sabah.

BACA: 3 Gunung Kaki Hiking Perlu Tawan Di Sabah

Jubair Juhinin, 26, yang merupakan graduan Sains Akuakultur UMS pada mulanya hanya memelihara sepasang arnab di rumah keluarganya yang bertempat di Kampung Purakagis kini telah membina satu perkampungan arnab yang menjadi destinasi perlancongan terbaru disamping Gunung Kinabalu, Kolam Air Panas Poring dan juga Ladang Sabah Tea serta tagal ikan Kampung Luanti.

Mengambil masa hanya setahun, arnabnya telah membiak sehingga beliau memiliki lebih 200 arnab yang terdiri daripada pelbagai spesies dan dibiarkan bebas berlari dalam kawasan berpagar seluas 100 meter persegi.

Gambar: Berita Harian
Gambar: Berita Harian

Atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, Juhair mengambil keputusan mengembangkan hobinya ini untuk menjadi produk perlancongan yang baharu di kampungnya itu walaupun perkara tersebut tidak termasuk dalam perancangan asalnya.

Menurut Jubair, ramai yang berkunjung di perkampungan arnabnya ini setelah melihat gambar arnab yang dikongsi ramai di laman sosial media Facebook.

“Apabila datang ke sini, mereka tertarik dan mencadangkan saya saya membuka ladang arnab kepada kunjungan orang ramai. Mereka membantu menyebarkan gambar dan maklumat mengenai ladang ini hingga menjadi viral,” ujar Jubair kepada Berita Harian ketika ditemui.

Jubair sentiasa memastikan arnabnya dalam keadaan yang baik. Gambar: Berita Harian
Jubair sentiasa memastikan arnabnya dalam keadaan yang baik. Gambar: Berita Harian

Bermula daripada itu dia mula mengambil keputusan untuk membuka perkampungan arnab itu kepada orang ramai dengan hanya mengenakan bayaran sebanyak RM3 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Buat masa ini di perkampungan arnab yang dinamakan ‘Arnab Village Homestay’ itu mempunyai sebanyak lapan spesies arnab yang berbeza iaitu Holland Lop Ear, Standard Rex, Netherland Dwarf, New Zealand White, France White, Lion Head, Mini Satin dan Anggora.

Baka-baka arnab tersebut telah diperolehi daripada penternak temptan dan juga Pusat Pembiakan Unggas dan Arnab (PPUA) Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah (JPHPT), Bantayan, Tuaran.

Mempunyai perancangan masa depan untuk mengembangkan perkampungan arnab itu menjadi sebuah zoo mini, Jubair akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak untuk segi kos dan juga promosi bagi menarik pelancong datang ke tempatnya ini.