Biar Untung Tak Banyak, Tapi Orang Kenyang

0
5466

Bermula tahun 2017 ini pelbagai berita tentang kenaikan harga barang dilaporkan. Bermula dengan kenaikan harga petrol dan diesel sehinggalah kepada kenaikan harga ikan kembong. Pastinya kenaikan barang memberi kesan kepada perbelanjaan seharian terutamanya pada mereka yang sudah berkeluarga, bahkan untuk berbelanja makan di luar pun mengira-gira baki duit di dalam dompet.

BACA: “Lambat Datang Memang Beraturlah Jawabnya”

Dalam situasi sekarang mungkin ada peniaga kedai makanan yang menaikkan harga jualan kerana kos yang meningkat tetapi lain untuk satu warung yang terletak di Meru kerana menyediakan menu sarapan dengan harga RM2 bagi setiap menu.

Kami terjumpa warung ini secara tidak sengaja sewaktu mencari minum petang di Meru. Tertarik dengan papan tanda “Minum Pagi RM2.00” pagi tadi kami sempat singgah untuk merasa makanan di sini.

Tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana dengan harga yang terlalu murah biasanya rasa makanan pun akan dikurangkan untuk mengurangkan kos bahan tetapi tanggapan kami salah rupanya.

Makanan yang disajikan di ‘Warung Sebelah Surau’ ini bukan sahaja murah tetapi menepati selera ramai orang serta di warung ini juga terdapat pelbagai pilihan menu seperti mi jawa, soto, nasi lemak, mi goreng dan pelbagai jenis pilihan kuih.

Bagi makanan berkuah dan bergoreng ia berharga RM2 semangkuk termasuk juga dengan kuih-muih iaitu lima biji RM2 manakala bagi nasi lemak bungkus lengkap dengan telur rebus dan roti canai biasa hanya berharga RM1.00. Murah betul kan?

Memang agak rambang mata juga dibuatnya jadi kami mengambil keputusan untuk memesan kesemua menu yang ada sehingga penuh juga meja dibuatnya. Bagi yang mencari nasi lemak bungkus daun pisang dan roti canai yang garing tetapi lembut warung ini adalah jawapannya.

Idea membuka warung RM2

Sempat juga kami bertanya kepada anak pemilik warung ini iaitu Hazwani Binti Karim, 28, yang lebih senang dikenali sebagai Syaza bagaimana tercetusnya idea untuk membuka warung dengan konsep yang murah ini.

“Idea untuk membuka warung ini kerana untuk beri peluang kepada orang ramai menjamu selera dengan kenyang serta membayarnya dengan harga yang murah”

“Biarlah kami tidak dapat untung yang banyak tetapi orang yang datang ke sini kenyang bila makan,” ujar Hazwani yang juga merupakan graduan bidang kulinari daripada Unitar.

Mula beroperasi sejak November yang lalu warung ini menjadi tumpuan masyarakat setempat kerana bersebelahan dengan Surau Darul Ahyar dan berhadapan dengan Taman Saujana Meru jadi memudahkan para pelanggan membeli sarapan mereka.

Menurut Syaza lagi warung milik keluarganya ini dibuka seawal 6.30 pagi sehingga 11.00 pagi dan beroperasi setiap hari kecuali pagi Jumaat serta dibantu oleh lima orang pekerja.

Bagi cuti hujung minggu dan cuti umum kata Syaza menu istimewa akan disajikan iaitu sate dan lontong dan setiap menu di sini dimasak oleh ibunya jadi rasanya memang seolah-olah masakan homemade kecuali kuih muih diletakkan oleh orang sekeliling.

Kami boleh katakan konsep warung ini seakan restoran Boat Noodle kerana portion makanan diletakkan dalam mangkuk yang kecil tetapi jangan tertipu kerana makan semangkuk pun sudah kenyang sebenarnya jadi sesuailah untuk mereka yang ingin diet.

Jadi bagi mereka yang mencari-cari tempat baru untuk bersarapan apa kata datang cuba makan di Warung Sebelah Surau ini yang terletak di tepi Jalan Meru-Kapar dan landmark yang mudah diingati adalah betul-betul bersebelahan dengan Surau Darul Ahyar, Meru.

Kami sarankan anda cuba kesemua menu yang ada di sini kerana harganya murah sahaja bahkan rasanya juga menepati selera ramai orang selain itu persekitaran warung ini juga bersih jadi tiada keraguan ketika makan di sini.

Kami kongsikan juga gambar-gambar menu lain yang terdapat di Warung Sebelah Surau ini.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram