Lempeng Sedap Batu Pahat Jadi Buruan

0
14784
Gambar: NST

Apabila berada di kampung semestinya makanan tradisional menjadi pilihan kerana ia penuh dengan nostalgia dan kenangan bahkan rasanya juga memenuhi selera kebanyakan masyarakat setempat.

BACA: Nikmati Lempeng Enak, Hidangan Tradisi Di Warung Pok Wel

Jadi tidak menghairankan mengapa orang ramai akan memenuhi gerai atau kedai makan yang menyediakan makanan tradisional sama ada untuk sarapan ataupun makanan berlauk seperti Warung Lempeng Sedap yang terletak di Batu Pahat.

Lempeng adalah antara menu sarapan tradisional bagi masyarakat Melayu dan Jawa di Malaysia, mengambil kesempatan daripada itu Saemah Sujad dan suaminya Yahya Abd Rashid telah membuka sebuah warung yang menyajikan menu tradisional tersebut di Batu Pahat.

Menurut temubual oleh New Straits Times, Saemah mula membuka warung ini pada tahun 2010 ketika beliau berpindah daripada Kota Tinggi ke Batu Pahat selepas perniagaannya tidak memberangsangkan di sana.

Gambar: NST

“Banjir pada 2006 telah memusnahkan restoran yang saya usahakan di Kota Tinggi, selepas itu kami memulakan kembali perniagaan tersebut tetapi keadaan tidak lagi sama seperti dahulu,” ujar Saemah ketika ditemui wartawan.

Beliau yang juga pernah mengusahakan perniagaan pakaian tetapi kerana minatnya terhadap perniagaan makanan membuatkannya tekad untuk membuka sebuah warung yang menyediakan lempeng sebagai menu utama.

Walaupun memulakan perniagaan di tepi jalan menggunakan payung Saemah tidak pernah berputus asa bahkan ketika permohonannya untuk mendapatkan tapak gerai ditolak, beliau tetap bersemangat meneruskan perniagaannya itu.

Lempeng yang lembut dan sedap

Buat masa kini, lempeng yang terdapat di warung beliau ini mempunyai tiga pilihan versi iaitu lempeng asli, adunan tepung bersama planta dan sedikit garam.

Dua lagi perisa yang lain adalah lempeng kelapa dan juga lempeng telur dan ketiga-tiga versi ini mempunyai peminatnya tersendiri dan setiap hari para pelanggan akan menanti untuk membeli lempeng ini.

Gambar: NST

Antara rahsia yang menjadikan lempeng yang disediakannya ini mempunyai tekstur yang lembut adalah bahan-bahan seperti tepung, telur, air, garam dan planta dikisar sehingga adunan gebu.

Setelah itu adunan lempeng tersebut akan dibakar di atas kuali leper yang panas sehingga masak dan sedikit garing.

Para pelanggan di sini juga mempunyai pelbagai pilihan kuah sama ada kari ikan, kari ayam, asam pedas ikan ataupun rendang ayam.

Gambar: NST

Selain itu di warung ini juga terdapat hati ayam masak cili padi yang memang disediakan khas untuk dimakan bersama lempeng dan rasanya memang menaikkan selera.

Kesemua menu di warung ini disediakan sendiri oleh Saemah dan suaminya setiap hari bermula jam 3 pagi dan selain lempeng, beliau turut menyediakan soto ayam, nasi lemak, mi goreng, tauhu goreng dan tempe goreng.

Gambar: NST

Kenangan sejak kecil

Antara sebab lain Saemah mengusaha warung lempeng ini kerana ketika beliau berusia 9 tahun, ibunya telah mengajarkannya cara membuat lempeng dan itu adalah menu pertama yang dipelajari daripada ibunya.

Gambar: NST

Lahir dalam keluarga Jawa yang besar iaitu 12 orang adik beradik menjadikan lempeng adalah sarapan yang biasa dinikmatinya bersama keluarga tersayang.

Terletak berhampiran dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta berhampiran dengan jalan raya menjadikan Warung Lempeng Sedap ini sebagai lokasi sarapan pilihan oleh masyarakat setempat.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram