10 Makanan Wajib Cuba Di Malaysia Thailand Halal Food Festival 2016

0
4494

Pasti apabila anda melihat pelbagai gambar makanan yang berasal dari negara jiran, Thailand sama ada di Facebook, Instagram ataupun blog makanan, anda akan tertelan air liur dan mengidam untuk merasai makanan tersebut kerana rupanya sangat menarik dan pasti rasanya juga sesuai dengan selera rakyat Malaysia, dah nama pun berjiran kan.

BACA: Idea Pasangan Thailand Ambil Gambar Kahwin Di Gerai Makan Jalanan Tarik Perhatian

Kini sedang berlangsung Malaysia Thailand Halal Food Festival 2016 (MATHAF 2016) di perkarangan tempat letak kereta Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 Shah Alam. Festival ini diadakan sehingga 1 Januari 2017 jadi anda masih ada masa untuk berkunjung ke festival ini.

Kami pasti anda yang gemar makan-makan tidak akan kecewa apabila datang ke sini kerana pendek kata hampir semua makanan terkenal Thailand boleh anda jumpa, baik pulut mangga, tom yam sehinggalah snek yang ranggup.

Jom kami kongsikan 10 makanan yang wajib anda cuba apabila datang ke MATHAF 2016 ini.

1. Kuih Batae


Pertama kali kami jumpa kuih batae di festival ini kerana sebelum ini kami belum pernah jumpa orang menjual kuih sebegini. Rasanya yang ranggup dengan disertakan whipping cream memang sedap buat kunyah-kunyah.

2. Nasi Kerabu

Apabila datang ke MATHAF ini barulah kami tahu bezanya nasi kerabu Kelantan dan nasi kerabu Thailand. Daripada segi lauk sama sahaja seperti ikan celup tepung, ulam, serunding kelapa, daging atau ayam bakar namun bezanya nasi kerabu Thailand tidak disertakan dengan kuah budu tapi rasanya tetap mengancam

3. Sotong bakar

Mulanya kami ingatkan yang dicucuk pada lidi itu adalah tauhu ataupun produk seafood yang digunakan untuk steamboat tetapi bila kami rasa memang sotong asli digunakan, rasanya memang betul menyelerakan kerana sotongnya masih lembut, sos pula masam-masam pedas jadi memang sesuai dijadikan snek.

4. Penkek Thailand


Penkek Thailand ini sewaktu kami mahu membelinya terpaksa beratur panjang juga kerana ramai yang membeli makanan ini kerana rasanya bila dimakan panas-panas memang sedap tambah pula dengan kelapa parut memang best.

5. Pulut mangga

Ramai yang sudah kenal dengan keenakan pulut mangga yang disertakan pulut yang lembut manis berlemak, mangga yang segar dan santan pekat yang dijadikan kuah. Memang pulut mangga ini sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut.

6. Laksa Thailand

Rasa laksa Thailand ini memang berbeza dengan asam laksa kita di sini, rasanya sedikit berlemak dan kuah laksa yang sarat dengan isi ikan. Lebih menarik lagi bila tergigit potongan cili padi yang diletakkan, rasanya pedas-pedas manja.

7. Snek ikan bilis


Ini memang patut anda beli bila datang ke sana sebab ikan bilis yang digunakan memang betul ranggup kerana digoreng nipis, lepas itu disira pula dengan salutan yang rasa manis dan pedas-pedas. Beli untuk makan sambil buat kerja di pejabat pun best.

8. Bebola seafood sos tiga rasa


Sekali tengok nampak sama sahaja dengan apa yang dijual di pasar malam berhampiran rumah kita tetapi bezanya pada sos yang digunakan kerana gabungan rasa manis, pedas dan masam menjadikan bebola seafood ini berbeza dan patut anda cuba. Beli dan makan sambil lepak borak-borak bagus juga.

9. ABC istimewa

ABC yang dijual di MATHAF 2016 ini memang cukup rasa kombinasi setiap bahannya. Anda boleh pilih pelbagai jenis topping sama ada brownies, aiskrim ataupun strawberry yang telah direndam dalam air gula. Sesekali minum tidak salahnya dan elok kongsi bersama rakan sebab tak habis seorang diri semangkuk ABC ini.

10. Puuchaa


Ramai juga beratur untuk membeli makanan ini dan kami ingatkan rasanya biasa sahaja tetapi bila kami cuba memang tak cukup satu. Puuchaa ini adalah isi ketam dan ayam yang disatukan dengan bahan-bahan lain dan disumbat dalam kulit ketam lalu dikukus. Makan pula panas-panas dan dicicah dengan sos cili yang dibuat sendiri memang menyelerakan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram