Sesat Dalam Hutan, Hanya Bertahan Dengan Coklat

0
65820
Gambar: Facebook Adam Hezrique

Setelah lebih 44 jam sesat di Gunung Irau, Cameron Highlands seorang pendaki wanita telah berjaya ditemui oleh pihak penyelamat dan pasukan pencarian pada malam tadi.

BACA: Ini Sebab Gunung Everest Akan Ada WiFi

Norfatin Sulaiman, 29, dilaporkan sesat pada Sabtu yang lalu kerana mangsa tersasar dari trek pendakian apabila dia terjatuh dari cerun beberapa meter selepas check point Pisang.

Gambar: Facebook Adam Hezrique

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Muhamad Haziq Hazmi memberitahu Astro Awani, mangsa telah selamat dibawa keluar sekitar 10 malam tadi dan dibawa ke hospital Cameron Highlands.

“Ketika menuruni trek Gunung Irau, mangsa terjatuh daripada cerun yang agak curam kira-kira 70 darjah dan terkeluar daripada trek. Mangsa tidak mampu menaiki semula cerun berkenaan lalu meneruskan perjalanan menuruni trek dengan harapan menjumpai anak sungai atau perkampungan,” maklum Muhamad Haziq.

Keadaan Norfatin ketika ditemui berada dalam keadaan yang letih tetapi tidak mengalami kecederaan yang serius cuma mangsa mengalami sedikit bengkak di kaki kerana memakai kasut terlalu lama.

Gambar: Facebook Adam Hezrique

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh 44 jam berada di dalam hutan Norfatin bertahan dengan coklat sebagai pemberi tenaga dan air sungai untuk minuman.

“Mula-mula kami nampak ada kesan tapak dan kami teruskan perjalanan mengikut tapak berkenaan dan menjumpai poncho (baju hujan). Justeru kami terus memanggil nama mangsa. Tiba-tiba mangsa menyahut dan meminta tolong. Lalu, kami segera ke arah mangsa yang ditemui di bawah bukit berhampiran air terjun,” tambah Muhammad Haziq lagi.

Ketika menuruni pendakian, Norfatin telah bersama 47 pendaki lain namun pada separuh perjalanan rakannya telah menyedari bahawa mangsa tidak berada dalam kumpulan.

Oleh kerana itu pada jam 12.15 malam kelmarin satu operasi pencarian dan penyelamat telah digerakkan yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perhutanan Daerah serta sukarelawan Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia (MOSARS).

VIDEO: Sedap Ke Tidak Wafer Berperisa Coklat ini?

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram