Valet Doa: Haji Hasrin Tetap Teruskan Servis

0
1872
Gambar: Facebook Valet Doa

Walaupun menerima pelbagai kecaman dan maklum balas yang tidak baik daripada orang ramai berkenaan servis Valet Doa, pengasasnya, Hasrin Harin akan tetap meneruskan servis berkenaan.

BACA: “Rupa Rupanya Upah Doa Ni Betul Berlaku”

Katanya servis membaca doa di hadapan Kaabah itu diperkenalkan untuk memudahkan orang ramai yang mempunyai masalah untuk menunaikan umrah dalam waktu terdekat.

“Ini termasuk individu yang tidak berkemampuan untuk pergi kerana halangan seperti sakit atau terbabit dalam kemalangan. Saya yakin perkhidmatan dengan dijalankan ini, saya bukan membawa orang ramai melakukan maksiat,” ujarnya ketika ditemui Harian Metro.

Dalam masa yang sama dia mengatakan perkara yang dilakukan ini bukanlah satu perkara yang tidak serius kerana niatnya akan dipersoal ketika di akhirat.

Katanya lagi perkhidmatan seperti itu telah lama wujud namun tidak ada pihak yang menguruskannya dan mengiklan servis mereka.

Apabila ditanya berkenaan jaminan doa yang dipohon itu dimakbulkan, Hasrin merujuk kepada hadis yang sahih.

“Memang ada hadis menyatakan tempat tertentu apabila kita berdoa pasti dimakbulkan Allah SWT, terutamanya ketika berada di Makkah,” katanya lagi.

Sementara itu, satu peringatan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengingatkan umat islam supaya tidak terpengaruh dengan servis upah doa tersebut.

Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha memberitahu, doa adalah satu pemohonan hamba kepada Allah SWT dan tidak wajar dijadikan produk atau perkhidmatan komersial.

“Sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-semata, bukan terletak kepada manusia,” ujarnya lagi.

JAKIM turut menyarankan kepada orang ramai untuk memberi maklumat kepada pihaknya atau Jabatan Agama Islam Negeri sekiranya terdapat sebarang keraguan atau kemusykilan.

VIDEO: Jual Pizza Depan Rumah Saja, Tapi Kena Beratur Panjang

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram