Seorang penuntut kolej bertindak menghunuskan pisau pada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akibat tertekan kerana gagal ujian memandu buat kali keempat.

Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian yang berlaku di persimpangan lampu isyarat di Batang Benar, Mantin, di Nilai, Selalu lalu, suspek lelaki berusia 18 tahun itu menjalani ujian memandu bersama anggota JPJ berusia 34 tahun terbabit.

BACA: Gagal Ujian Memandu, Remaja Berusia 21 Tahun Bunuh Diri

Difahamkan penuntut itu melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak berhenti ketika lampu isyarat merah. Berikutan itu anggota terbabit memberitahu calon bahawa dia gagal lalu meminta memberhentikan kereta 50 meter dari persimpangan lampu isyarat.

Bagaimanapun, ketika mahu menukar tempat duduk, suspek mengambil beg yang dibawa lalu mengeluarkan pisau pemotong sayur berukuran 30 sentimeter.

 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek menghunuskan pisau pada rusuk kanan anggota JPJ berkenaan dan bertegas mahu ujian memandunya diluluskan.

Anggota terbabit bagaimanapun dapat membuka pintu kereta dan bergegas keluar dari kenderaan berkenaan sebelum menghubungi penyelia calon serta polis bagi mendapatkan bantuan.

Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan membawa suspek ke Balai Polis Mantin, di sini.

“Ujian air kencing turut dilakukan ke atas suspek yang berasal dari Kuala Lumpur namun mendapati dia negatif dadah. Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh,” katanya.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Pening Kepala Pekena Butter Beer?