Isu vaksinasi dilihat semakin mendapat perhatian masyarakat sejak kebelakangan ini. Ini berikutan satu kes kematian kanak-kanak akibat penyakit defeteria di Johor baru-baru ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.

Apa yang berlaku telah membuka mata masyarakat tentang peripenting pengambilan vaksinasi dikalangan kanak-kanak.

Namun, mengapa masih ada dikalangan kita yang masih enggan menerima imunisasi? Berikut adalah 5 mitos yang menjadi punca yang mereka enggan menerima imunisasi.

BACA: Akibat Anti Vaksin, Bayi Maut

Mitos 1: Vaksin menyebabkan autisme

20 tahun telah berlalu semenjak satu artikel oleh bekas doktor British ternama, Andrew Wakefield, yang mendakwa terdapat kaitan antara vaksin MMR (campak, beguk dan rubella) dan autisme. Dakwaan ini diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet.

Artikel ini akhirnya ditarik balik atas kesalahan yang serius dalam prosedur serta pelanggaran etika. Wakefield akhirnya kehilangan lesen perubatannya. Walau bagaimanapun, tanggapan salah bahawa vaksin menyebabkan austisme terus dipercayai sehingga hari ini.

Banyak kajian susulan telah dijalankan untuk mengkaji hubungan ini. Namun bukti yang menyokong bahawa vaksin MMR menyebabkan autisme tidak ditemui.

Mitos 2: Pengambilan vaksin serentak menyebabkan limpahan sistem imun

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bukti saintifik menunjukkan pemberian beberapa vaksin secara serentak tidak mempunyai impak negatif ke atas sistem imun kanak-kanak.

Setiap hari, kanak-kanak terdedah kepada beratus-ratus bahan asing yang mampu mencetuskan tindak balas imun. Pada hakikatnya, mereka terdedah kepada banyak antigen asing, atau bahan yang tidak wujud secara semula jadi dalam badan melalui aktiviti-aktiviti biasa seperti makan, minum dan bermain.

Jika dibandingkan, vaksin mengandungi jauh lebih sedikit antigen, maka sistem imun seseorang kanak-kanak tidak akan mengalami limpahan walaupun beberapa vaksin diberikan pada masa serentak, atau dalam tempoh yang singkat.

Mitos 3: Komponen-komponen vaksin bersifat toksik

Ramai pelobi anti-vaksin telah menyampaikan kekhuatiran mereka terhadap penggunaan bahan-bahan kimia seperti merkuri, aluminium, dan formaldehid dalam vaksin.

Tidak dinafikan bahan-bahan kimia ini bersifat toksik kepada tubuh manusia pada paras tertentu, tetapi, kuantitinya dalam vaksin adalah sangat sedikit.

Industri vaksin merupakan industri yang dikawal selia dengan ketat. Semua produk wajib menjalani ujian yang ketat sebelum diluluskan oleh pentadbiran ubat serta pihak-pihak berkuasa perubatan di seluruh dunia.

Oleh itu, adalah penting kita menyedari bahawa setiap bahan yang digunakan dalam vaksin memainkan peranan yang mustahak dalam mengekalkan kestabilan, keselamatan serta keberkesanan produk.

Mitos 4: Imuniti semula jadi adalah lebih baik

Sesetengah ibu bapa lebih menginginkan anak mereka memperoleh imuniti semula jadi melalui jangkitan penyakit kerana ia boleh menggalakkan penghasilan tindak balas imun primer. Ini memberikan imuniti lebih kuat terhadap penyakit.

Walaupun imuniti semula jadi mungkin bertahan lebih lama daripada imuniti yang diberikan oleh vaksin, pendekatan ini mendatangkan kemudaratan yang jauh lebih besar berbanding manfaatnya.

Faktor-faktor risiko berkaitan dengan jangkitan pelbagai penyakit ini adalah amat berbahaya, dan merangkumi lumpuh, kerosakan otak yang berkekalan, kegagalan hati, kepekakan, buta, bahkan kematian dalam kes-kes ekstrem.

Mitos 5: Kebersihan dan sanitasi yang lebih baik mengurangkan penyakit

Walaupun sanitasi dan nutrisi yang lebih baik, air bersih, dan keadaan hidup yang lebih sihat telah membantu mengurangkan penyakit secara keseluruhannya, namun banyak penyakit masih boleh merebak tidak kira betapa baik kita menjaga kebersihan. Justeru, vaksin masih diperlukan untuk mencegah pelbagai penyakit berjangkit.

Adalah amat penting untuk kita menyedari bahawa, meskipun kebersihan dan sanitasi yang lebih baik telah membendung penyakit-penyakit tertentu daripada merebak, pendekatan terbaik untuk menjamin imuniti kelompok dalam komuniti adalah melalui vaksinasi yang konsisten pada paras yang tinggi untuk semua ahli dalam komuniti.

Apa sebenarnya vaksin?

Vaksin adalah suatu persediaan biologi yang menyediakan pelalian aktif untuk penyakit tertentu. Vaksin biasanya mengandungi agen yang menyerupai mikroorganisme penyebab penyakit.

Vaksin diperolehi sama ada daripada mikroba yang dilemahkan ataupun dibunuh, racun-racunnya yang terhasil mahupun salah satu protein permukaannya.

Agen tersebut merangsang sistem imun badan agar ia mengenali agen itu sebagai suatu ancaman, menghancurkan agen itu dan menyimpan catatan supaya sistem imun tersebut lebih mudah mengenali dan memusnahkan apa-apa jua mikroorganisme yang ditemuinya di lain masa.

Proses pengendalian vaksin ke dalam badan dikenali sebagai vaksinasi (atau pemvaksinan). Keberkesanan vaksinasi telah lama dikaji secara menyeluruh serta diberikan pengesahannya seperti pada vaksin influenza, vaksin HPV serta vaksin cacar air. Vaksinasi merupakan suatu langkah pencegahan penyakit yang paling efektif.

Pelbagai mitos yang tersebar menerusi golongan anti-vaksin telah menimbulkan ketakutan serta penolakan imunisasi dalam kalangan sesetengah ibu bapa.

Sekiranya tidak dibendung, masalah ini mungkin akan mendatangkan kesan-kesan yang lebih buruk daripada keadaan yang sedang kita saksikan hari ini.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Sambal Ikan Bakar Kat Sini Memang Meriah! 😱😱

Sumber: says.com