7 Jenis Nasi Popular Di Majlis Kenduri Kahwin
Musim cuti sekolah merupakan tarikh yang paling digemari bagi pasangan pengantin melansungkan perkahwinan. Kami percaya anda pasti banyak menerima jemputan majlis perkahwinan. Tidak kira samada jiran tentangga, saudara-mara atau sahabat anda yang akan melansungkan perkahwinan.
Majlis kenduri kahwin adalah majlis yang dihadiri oleh tetamu bagi meraikan pasangan yang baru berkahwin. Para tetamu akan dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dengan apa yang digelar sebagai ‘lauk kenduri’.
Sudah semestinya ‘lauk kenduri’ berbeza dengan menu makanan harian atau yang dijual di restoran kerana ia merupakan hidangan khas bagi meraikan raja sehari.
Setiap negeri di Malaysia mempunyai hidangan ‘lauk kenduri’ yang berbeza serta unik. Hidangan nasi sahaja mempunyai pelbagai jenis begitu juga dengan gulainya. Kami senaraikan 7 jenis nasi popular yang anda akan jumpa di majlis kenduri kahwin.
1. Nasi Minyak
Nasi minyak begitu sinonim dengan kenduri kahwin, boleh dikatakan tidak berseri majlis kenduri kahwin jika tidak dihidangkan nasi minyak. Jika di Johor nasi minyak merupakan hidangan wajib ketika majlis kenduri kahwin.
Nasi minyak asalnya merupakan campuran budaya timur tengah dan nusantara di mana kandungan rempah yang terdapat pada nasi minyak telah diolah menjadi selera nusantara.
Mengikut catatan sejarah nasi minyak pada mulanya merupakan hidangan khas bagi raja Palembang tetapi kini ia telah merentasi sempadan hingga ke negara kita untuk dijadikan hidangan pada raja sehari.
Nasi minyak sangat enak dengan gandingan daging masa hitam dan juga acar limau. Kini anda boleh buat sendiri nasi minyak di rumah tanpa perlu menunggu jemputan majlis perkahwinan.
2. Nasi Tomato
Nasi tomato turut menjadi pilihan untuk dihidangkan dalam majlis perkahwinan di sesetengah tempat. Nasi Tomato merupakan salah satu hidangan tradisional orang Melayu negeri Pahang yang sangat popular.
Rasa hidangan nasi tradisional ini adalah manis kerana pes tomato diadun dan dicampur bersama beras. Kismis dan gajus-kacang juga turut ditambah ke dalam campuran untuk memberikan rasa yang lebih pelbagai. Nasi Tomato sangat enak digandingkan dengan ayam masak merah atau ayam rendang, daging, pajeri nanas dan dalcha
3. Nasi Hujan Panas
Nasi hujan panas merupakan resipi nasi Melayu yang popular di Malaysia dan Indonesia. Ia turut menjadi pilihan sebagai hidangan di majlis kenduri kahwin.
Sesetengah orang merujuk hidangan ini sebagai “Rainbow Rice” kerana memaparkan beras berwarna-warni. Ia biasanya dihidangkan dengan masakan Melayu yang lain seperti rendang daging atau kari ayam.
Ciri utama nasi hujan panas ialah rupanya yang berwarna-warni. Penampilannya tidak pernah gagal dalam menarik minat orang ramai untuk menjamu selera di majlis kenduri kahwin terutama golongan kanak-kanak.
4. Nasi Arab
Nasi arab juga telah termasuk dalam budaya kita terutama ketika majlis-majlis keraian seperti majlis kenduri kahwin.
Kini masakan arab menjadi semakin popular dan telah diterima sebagai salah satu diet pemakanan masyarakat di Malaysia khususnya nasi arab. Ini dapat dilihat apabila nasi arab telah dijadikan hidangan di majlis kenduri kahwin dan juga ketika hari raya.
Walaupun kos bagi menghasilkan nasi arab agak mahal namun ia menjadi pilihan bagi mereka yang berkemampuan.
5. Nasi Beriani
Nasi Beriani merupakan masakan berasaskan nasi yang dicampur rempah, beras basmati dan ayam, daging kambing, ikan, telor atau sayur-sayuran. Ia juga sangat popular ketika majlis keraian, perkahwinan dan ketika hari raya.
Perkataan “Beriyani” diambil dari bahasa Parsi bermaksud “goreng atau panggang”. Beriani dipercayai dicipta di dapur Maharaja Mungal Muslim yang kemudiannya dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang dari Selatan India. Nasi beriyani dimasak menggunakan beras panjang bersama rempah ratus yang digoreng sebelum ditanak berasnya.
6. Nasi Jagung
Nasi jagung merupakan hidangan yang terkenal bagi orang Utara, jadi tidak hairan jika anda menghadiri majlis perkahwinan di negeri Utara anda akan dihidangkan dengan nasi jagung.
keistimewaan nasi jagung ini adalah aroma dan rasanya yang asli hasil resipi masyarakat terdahulu yang kemudiannya diolah sedikit menggunakan beras jenis Basmathi untuk menambahkan kelazatannya.
Jika dulu juadah ini dinikmati golongan daif dan miskin, bagaimanapun kini nasi jagung ini semakin popular ketika majlis perkahwinan dan dimakan bersama pelbagai jenis lauk yang pastinya mampu menjadi nilai tambah dari segi rasanya.
7. Nasi Putih
Nasi putih wajib ada ketika majlis perkahwinan tidak kira di mana sekali pun majlis yang anda hadiri. Nasi putih menjadi pilihan bagi mereka yang menjaga diet pemakanan.
Pastinya tuan rumah tidak terlepas pandang bagi menghidangkan nasi putih pada tetamu, terutama bagi golongan tua.
Nasi putih tetap tersenarai sebagai nasi popular ketika majlis kenduri kahwin kerana sangat sesuai digandingkan dengan apa saja gulai yang dihidangkan.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pening Kepala Pekena Butter Beer?
Sumber: says.com