Kisah Kami Yang Terjah Kendurian Di Shah Alam
Bila sebut sahaja tentang durian pasti ramai yang akan teruja dengan raja buah ini dan menanti-nantikan musim durian tiba setiap tahun. Begitu juga dengan acara Kendurian (kenduri durian) yang diadakan bersempena Food Mega Festival yang berlangsung pada hujung minggu ini di Shah Alam.
BACA: Amboi Manja Betul Cik Ah
Kami yang turut rasa teruja tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan acara ini dan hadir ke sana seawal 10 pagi lagi. Ketika itu orang ramai sudah pun mula memenuhi dengan beratur di kawasan Kendurian yang berlangsung.
Dari jauh kelihatan longgokan buah durian yang kelihatan sangat menyelerakan dan para petugas sedang mengelaskan buah tersebut.
Siapa sahaja pasti tidak menolak untuk mencuba durian di sini dengan bayaran hanya RM19 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.
Lebih kurang 10.30 pagi, kumpulan pertama pelanggan seramai 150 orang telah dibenarkan masuk ke kawasan khemah untuk merasai durian yang telah dikopek diatas meja.
Tidak dinafikan buah durian yang disediakan penganjur adalah dari kategori yang baik.
Selang beberapa minit berlaku sedikit ketegangan apabila buah durian yang diletakkan atas meja tidak ditambah walaupun para pelanggan telah habis memakannnya.
Bahkan secara tiba-tiba pihak penganjur kendurian mengumumkan dan meminta maaf bahawa acara tersebut terpaksa ditutup untuk sementara atas sebab durian yang dibekalkan untuk mereka tidak masak dan tidak boleh dimakan.
Kami melihat sendiri mereka memulangkan duit kepada pelanggan atas sebab perkara yang berlaku ini.
Penganjur Kendurian sendiri tidak menyangka perkara ini akan terjadi kerana hampir 15 tan buah durian yang dipesan mereka dari negeri Perak tidak sampai 10% sahaja yang masak dan boleh dimakan.
Menurut penganjur mereka mengalami kerugian hampir RM250 ribu atas perkara yang tidak diingini ini.
Dalam masa yang sama pihak penganjur cuba menerangkan kejadian yang berlaku kepada para pelanggan dan menunjukkan bukti dengan mengopek durian yang tidak masak itu.
Ada pelanggan yang faham dengan keadaan tersebut dan memuji tindakan penganjur kerana menerangkan perkara sebenar namun tetap melahirkan rasa kecewa tidak dapat merasai kemeriahan Kendurian.