Ini Cara Nira Nipah Dituai
Terdapat beberapa kajian yang membuktikan bahawa buah yang kurang dikenali sebenarnya mempunyai potensi untuk dieksploitasikan bagi tujuan sumber makanan kepada manusia berdasarkan kandungan nutrisinya yang berguna.
Contohnya, spesies Nypa fruticans yang tumbuh subur di Malaysia. Spesies ini adalah satu-satunya spesies pokok palma yang tergolong dalam genus nypa. Air nira daripada batang pokok ini boleh digunakan untuk menghasilkan tuak, cuka dan juga gula.
Namun, perusahaan air nira dikatakan semakin kurang diminati kerana kerjanya yang agak rumit selain faktor cuaca.
Nipah tembaga paling sesuai untuk menghasilkan nira
Proses menghasilkan nira kelapa dan nipah hampir sama cuma kaedah digunakan berbeza kerana nira kelapa diambil daripada mayang kelapa di bahagian atas pokok. Sementara nira nipah pula dari tangkai buah yang keluar di perdu pokok nipah.
Malah nira kelapa dan nipah turut berbeza dari segi aroma, kemanisan dan rasanya. Walaupun kedua-duanya boleh diminum terus dari pohon, ia perlu ditapis terlebih dahulu.
Air nira mengandungi bahan manisan iaitu sukros yang enak diminum terutama jika dicampur air batu.
Proses mengambil air nira nipah agak berbeza berbanding nira kelapa. Pokok nipah jenis tembaga paling sesuai dipilih kerana tangkai buahnya yang melentur ke bawah.
Cara menghasilkan nira nipah
Pilih pokok nipah sesuai bagi mendapatkan air nira kerana pokok yang mempunyai buah nipah menegak dikatakan tidak sesuai digunakan.
Batang dan pelepah pokok kemudian dibuang kulit sebelum dicuci dengan parang supaya pelepah tidak menjadi buruk dan menghindari daripada dihurung serangga.
Batang nipah kemudian dilurut bermula dari bahagian tengah, ke kiri dan ke kanan selama dua minggu. Sebelum buah atau pangkalnya diangkat dan dialihkan supaya ia menghasilkan air nira yang banyak dan berkualiti.
Batang nipah perlu sentiasa dialihkan bagi memudahkan air nira mengalir lebih banyak dan pastikan batang nipah benar-benar melentur jatuh ke tanah.
Selepas melurut ke tanah selama seminggu, batang nipah kemudian disapu pula dengan tanah liat dan dibiarkan selama tiga hari supaya tidak terluka, selain bagi membetulkan kedudukan mayang serta buah.
Tangkai pokok nipah kemudian diurut dari bahagian tengah ke kiri dan kanan bagi memudahkan pengaliran air nira. Satu lagi ialah dengan cara mengetuk pangkal perlahan-lahan dari kiri ke kanan selama tiga hari dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan untuk mengelak pelepah rosak.
Selepas diketuk selama tiga hari, ia perlu dibiarkan pula selama dua minggu sebelum pokok nipah dipangkas dengan kedudukan mata pisau daripada bawah ke atas.
Pada minggu pertama batang pelepah hendaklah diurut sekali, minggu kedua diurut dua kali dan minggu ketiga dan keempat pula sebanyak tiga kali pada setiap pertengahan bulan dan dipangkas sekali untuk mendapatkan hasil memuaskan.
Pokok itu kemudian dipangkas sekali lagi pada minggu ketiga bagi mendapatkan air nira yang banyak dan untuk tahan lebih lama dibiarkan lebih daripada tiga hari.
Selepas itu botol atau bekas untuk menadah nira dimasukkan ke dalam batang pelepah pokok nipah, kemudian ditutup dan diikat menggunakan plastik serta getah bagi mengelak air nira dihinggapi serangga.
Air nira yang dihimpun di dalam botol kemudian ditapis sebelum dimasukkan ke dalam bekas bersih.
Nira nipah mampu merawat kencing manis
Buah nipah digunakan sebagai penawar kepada penyakit gigi dan sakit kepala , disamping itu juga telah dilaporkan bahawa banyak bahagian pada pokok nipah boleh digunakan bagi tujuan perubatan.
Malah, air nira nipah telah diperakui mempunyai potensi yang tinggi dalam mempertingkatkan tenaga fizikal dan tahap stamina badan.
Cuka yang terhasil melalui air nira nipah yang telah diperam selama 40 hari pula dipercayai bukan sahaja dapat digunakan dalam masakan, malah dapat digunakan sebagai ubat bagi penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout dan batu karang.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Lubuk Nasi Ngidey Resepi 4 Generasi 🔥🔥
Sumber: HarianMetro