Gagal Padam Api, Pelajar Tahfiz Tekad Laung Azan
Kadangkala perkara buruk datang tidak dijangka. Seorang pelajar tahfiz menyedari bangunan tiga tingkat Maahad Tahfiz yang didudukinya mengalami kebakaran apabila terdengar bunyi letupan dari tingkat paling atas ketika api semakin marak.
BACA: Pasar Ikan Terbesar Dunia Terbakar
Mohd Hazwan Mohd Azhar, 16 tahun, pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wattarbiyatul Islamiyah, Kampung Tengah Titi Telok Teduri, antara individu terawal yang menyedari kejadian itu mengatakan dia dan rakan-rakan yang lain hanya mampu melaungkan azan selepas tidak berjaya memadamkan api.
“Ketika itu, seorang rakan terus melaungkan azan beberapa kali selepas usaha padamkan api gagal, nasib baik kebakaran berlaku di tingkat atas yang menempatkan bilik stor serta dewan dan kami semua tidur di tingkat dua, manakala semua kitab termasuk Al-Quran dan pakaian selamat di tingkat bawah,” ujarnya.
Ketika kejadian pukul 2 pagi itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi yang diketuai Pegawai Kanan II Jusuh Abdul Wahab seramai 11 orang selepas menerima panggilan kebakaran pada pukul 2.04 pagi.
“Sebaik tiba, api sedang marak di tingkat atas pondok berkenaan bomba menggunakan dua pancutan dan satu aliran untuk memadam kebakaran itu, sekali gus mengawal api daripada merebak,” katanya.
“Dalam kejadian ini kira-kira 25 peratus bangunan tiga tingkat itu terbakar iaitu di tingkat paling atas dan tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” tambahnya lagi sebelum mengakhiri perbualan.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Apa Yang Best Di Sungai Petani?
- SUMBER
- BERITA HARIAN