Chef Malaysia Dedah Restoran ‘Halal’ Popular Jepun Guna Daging Babi
Empat chef Malaysia yang bekerja di sebuah restoran makanan ‘halal’ popular di Osaka, Jepun mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaan kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemilik restoran terbabit yang menjual hidangan tidak halal kepada pelanggan.
Mereka turut mendedahkan restoran ‘halal’ tersebut menyediakan daging yang tidak halal malah sijil halal yang dipamerkan adalah palsu. Mereka juga turut memohon maaf kepada mereka yang beragama Islam yang pernah makan di restoran tersebut.
BACA: Dituduh Makan Daging Babi, Wanita Ini Tegakkan Kebenaran
“Kami mohon maaf kepada rakyat Malaysia beragama Islam yang pernah makan di restoran itu.
“Memang rasa bersalah sangat kerana kami tahu bahan yang disediakan seperti daging adalah tidak halal serta sijil halal yang dipamerkan juga dibuat sendiri pemilik restoran,” kata salah seorang bekas chef, Hafizee Ismail, 29.
Menurutnya, dia bersama Megat Danial Aizat Megat Ariffin, 32, Mohamad Rafael Faiq Mohd Jamaluddin, 23, dan Mohd Shazuan Shafiq Mohd Hisham, 25, mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke Malaysia dan mendedahkan perkara itu selepas bertemu dengan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Menurut Hafizze, sejak sebulan lalu, mereka mahu menceritakan perkara itu namun memikirkan faktor keselamatan selain belum dibayar gaji, mereka terpaksa memikirkan cara lain untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di Malaysia memandangkan restoran terbabit menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia.
“Sebelum ini, kami dimaklumkan restoran itu menyediakan menu halal dan menawarkannya kepada pelawat khususnya dari Malaysia untuk mendapat makanan halal tanpa was-was.
“Tetapi Allah itu maha mengetahui apabila bulan lalu ketika mengambil stok bahan mentah dari kilang di Kobe, kami dapati daging yang dikatakan halal dicampur dengan daging babi dan dipotong menggunakan mesin sama.
“Bagaimanapun, ia tidak berlaku menyebabkan kami mencari jalan menghebahkannya kepada seluruh rakyat Malaysia. Harap kami, tiada lagi Muslim Malaysia tertipu dengan promosi halal di situ kerana kami sendiri lihat dan tahu bahan yang diproses dari kilang bercampur daging babi,” katanya.
Difahamkan, Hafizee menjadi cef di restoran itu sejak hampir dua tahun lalu manakala tiga yang lain diterima bekerja di situ pada Oktober lalu.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Datang Hameediyah Kota Damansara Memang Kena Beratur? 😱
- SUMBER
- Harian Metro