Bank Negara: Harga Rumah Di Malaysia Sangat Tidak Mampu Milik
Sebut saja harga rumah di Malaysia, memang tepuk dahi dibuatnya. Mana tidaknya, ada kalanya harga yang ditawarkan tidak masuk akal dan sekaligus membuatkan ramai yang menaggguhkan hasrat untuk memiliki rumah sendiri.
Menurut kajian yang dibangunkan Demographia International dan dicadangkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Harvard, rumah kediaman di Malaysia dikategorikan sebagai ‘sangat tidak mampu milik’.
BACA: Air Percuma Selangor Hanya Untuk Isi Rumah Bawah RM4000
Memetik laporan BH Online, menurut Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah yang baru dibangunkan berikutan harganya di luar keupayaan kewangan mereka.
Ujarnya lagi, purata harga bagi pelancaran hartanah baharu yang ditawarkan dalam pasaran adalah pada RM417,262 seunit, tetapi harga maksimum untuk isi rumah berpendapatan median atau penengah adalah RM282,000.
Contohnya, harga maksimum mampu milik bagi rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah sekitar RM454,000, namun median sebenar yang ditawarkan adalah RM793,000. Ia sekaligus menjurus kepada peningkatan unit rumah tidak terjual.
Katanya lagi, tahap ketidakmampuan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah masih menjadi faktor penghalang utama kepada mereka untuk memiliki rumah sendiri.
“Sebuah rumah dianggap mampu milik sekiranya harga ditawarkan tidak lebih daripada tiga kali ganda pendapatan tahunan isi rumah.
“Mengikut faktor kemampuan rakyat berdasarkan ‘median multiple’, harga rumah di Malaysia pada 2016 berada pada kadar 4.8 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah berbanding 3.9 kali ganda pada 2012.
“Ia menunjukkan kadar ketidakmampuan rakyat membeli rumah sendiri adalah semakin meningkat,” katanya.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Penangan CEndol Durian Di Gombak & Makan Percuma? 😱😱😱
- SUMBER
- BH Online