“Kalau Kalah Final, Tiada Makna”
Pemain harapan negara, skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Harimau Malaya, N. Thanabalan, 20 tahun, mengambil nasihat bapanya dengan serius untuk menentang pasukan Thailand pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA malam ini di Stadium Shah Alam, Selangor.
BACA: Ini Penyokong Indonesia Dapat Bila Menyamar Jadi Penyokong Malaysia
Walaupun namanya semakin popular sejak dari perlawanan pertama apabila berjaya menyumbang gol untuk negara, tetapi anak muda ini masih merendah diri dan menganggap ia sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk memastikan Malaysia mara hingga ke final.
“Fokus memang seratus peratus dalam permainan bersama rakan sepasukan. Di padang tidak ada apa yang saya fikirkan kecuali menggunakan setiap peluang yang ada,” ujarnya
“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang kerana mereka saya dapat menyumbang gol buat negara. Kalau bukan mereka yang bagi hantaran cantik dan tidak mencuba ke arah gol, memang saya tidak dapat melakukannya,” kata pemain kelab Felcra itu.
Di samping itu, Thanabalan sentiasa mengingati pesanan ayahnya yang agak tegas kepadanya untuk perlawanan malam ini.
“Saya masih tergiang-giang lagi apa yang bapa cakap selepas kami layak ke final. Bapa saya beritahu ‘apa yang korang buat sebelum ini memang sudah bagus. Tetapi kalau kalah dekat final nanti, ia tidak bermakna’,” jelasnya.
“Saya cuba fikir dan sedar kata-katanya itu betul kerana bukan mudah untuk mara ke final, dan kalau kami tidak berjuang habis-habisan ia sangat merugikan,” tambahnya lagi.
“Lagipun inilah masanya kami untuk membalas dendam di atas kekalahan 3-0 ketika saingan Kelayakan Piala AFC di Bngkok Julai lalu,” ujarnya.
“Bagi saya, tidak kira apa jua yang berlaku kami perlu menang untuk hadiahkan pingat emas atau ada orang panggil ‘ibu emas’ kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya penuh bersemangat.
Selain itu, dia turut memberitahu sebahagian daripada keluarga serta teman wanitanya akan hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir itu di stadium malam ini.
“Cuma bapa saya yang tidak dapat hadir. Mungkin agak sukar untuknya kerana bapa saya lumpuh. Jadi bapa akan menonton di televisyen sahaja,” sambungnya.
“Dan saya juga berharap semua peminat bola sepak negara datang memberi sokongan kepada kami. Ia amat penting,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.
Diharap penyokong Harimau Malaya dapat memberi sokongan padu untuk mereka kerana itulah kekuatan mereka bagi meraih satu lagi pingat emas untuk negara. Majulah sukan untuk negara!
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pyan Dah Gemuk, Perut Berlapis Teruk?
- SUMBER
- MSTAR