Lemang Pusing Cetus Kelainan
Jikalau sebelum ini banyak versi lemang kita dengar, kali ini giliran lemang ‘pusing’ pula buat kemunculan. Jangan terkejut jika anda pergi ke Kampung Jawa, Klang dan melihat lemang berpusing sambil dibakar.
BACA: Lemang Periuk Kera Dapat Sambutan Hangat
Lemang pusing ini dimasak menggunakan mesin yang dicipta sendiri oleh pengusaha lemang tersebut, Abdullah Sani Khamai, 47 tahun. Dia mendapat idea tersebut apabila tempahan lemang semakin banyak ketika menjelang hari raya Aidilfitri serta memerlukan tenaga pekerja yang banyak jika lemang dibakar secara manual.
“Saya ambil masa dua bulan siapkan peralatan ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM5,000 dan mula praktikkannya pada 1 Ramadan lalu,” katanya.
“Antara peralatan yang digunakan adalah bearing motosikal, rantai, spoket dan lain-lain dan ia menggunakan konsep hampir sama dengan penyediaan ayam golek namun bezanya apabila lemang ini disusun secara menegak,” tambahnya sambil memberitahu dia telah berniaga lemang sejak 16 tahun lalu.
Selain itu, lemang dibakar akan disusun dalam satu bekas besi berpusing menggunakan 19 kelajuan daripada 25 kelajuan yang diciptanya.
“Dalam tempoh satu jam setengah hingga dua jam, ia akan masak dengan sekata dan cara ini juga dapat mengelak lemang daripada hangus. Saya dan pekerja tak perlu nak pantau lemang tersebut sepanjang masa, sebaliknya boleh beri tumpuan kepada pembakaran lemang secara manual yang juga masih dilaksanakan di sini,” katanya lagi.
Abdullah Sani turut memberitahu dia menggunakan kayu bakau diambil dari Kapar, Klang untuk proses pembakaran lemang kerana kayu itu membuatkan lemang menjadi lebih enak dimakan.
Dia juga meletak sasaran 3,000 batang lemang akan terjual menjelang malam Aidilfitri nanti setelah dikira dengan tempahan daripada orang ramai. Malah, dia turut berpuas hati dengan maklum balas daripada pelanggan-pelanggannya memuji lemangnya lebih enak sejak dia menggunakan mesin ciptaannya.
Walau bagaimanapun, pembeli tidak perlu risau mengenai harga kerana Abdullah Sani masih mengekalkan harga sama iaitu RM 13 sebatang. “Di sini juga ada jual rendang ayam dan daging, kedua-duanya dijual pada harga RM 4 seketul dan RM 4.50 bagi setiap 100 gram,” tambahnya lagi.
Kini sudah mulai rasa suasana beraya setelah ramai penjual lemang seperti Abdullah Sani telah mula menjual lemang sehingga pada malam raya nanti.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pecah Perut Makan Western Dalam Dulang Ni!!
- SUMBER
- SINAR HARIAN