“Anak Ke Sekolah Hanya Bekal Nasi Lauk Ubi Kayu & Budu”
Tidak semua orang dilahirkan dalam keluarga senang, dapat hidup mewah dan selesa lebih-lebih lagi dengan zaman sekarang yang harga barang semakin meningkat.
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, inilah nasib keluarga sembilan beranak di Kampung Bukit Pauh, Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan sehingga terpaksa mengikat perut.
BACA: Bung Moktar: Obesiti Bukti Rakyat Tak Hidup Susah
Memetik laporan portal gpsbestari, keluarga ini terpaksa berdepan situasi sukar apabila ketua keluarga, Roslan Kori, 38, menghidap ketumbuhan dalam perut sehingga menyebabkan dia tidak boleh lagi bekerja.
Lebih memilukan, anak bongsu yang baru berusia 20 hari mengalami masalah jantung berlubang dan memerlukan rawatan susulan.
Disebabkan masalah tersebut, isterinya Wan Rosmini Mat Leh, 33, tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga suami yang sakit serta menguruskan tujuh anak mereka.
“Kami tidak punya pendapatan tetap kerana keadaan suami yang sakit. Sebelum ini saya ada juga menjaja kulat sisir dan siput gondang ditemani anak sulung, tapi sekarang saya tidak boleh bekerja kerana baru sahaja melahirkan anak bongsu,” katanya.
Kata Rosmini, dia terpaksa mengikat perut dan hanya belanja mengikut keperluan memandangkan anak-anaknya perlu bersekolah.
Ujarnya lagi, setiap hari dia akan bekalkan anak-anak ke sekolah dengan nasi berlaukkan sayur ubi kayu dan budu sahaja. Biarpun hidup susah, Rosmini tidak mahu anak-anaknya tertinggal dalam pelajaran.
“Apa pun saya berharap nasib anak-anak saya akan berubah selepas ini. Walaupun dua anak saya terpaksa jalan kaki ke sekolah sejauh 10 kilometer setiap hari, saya tidak sanggup jika mereka ponteng sekolah dan tertinggal dalam pelajaran.
“Biarlah keluarga kami miskin harta sekali pun, namun pelajaran anak-anak perlu diteruskan demi masa depan mereka,” katanya.
Kadang kala di saat kita merasakan kehidupan sudah terlalu sukar, tapi ketahuilah ada orang yang hidup mereka lebih sukat dari kita. Apa pun, kita sepatutnya mensyukuri apa yang kita ada.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Restoran Tom Yam Paling Legend Di Ampang😱🔥
- SUMBER
- gpsbestari