Sejak kecil kita diajar supaya menghormati orang lain tanpa mengira agama dan bangsa. Malah, kita juga mempunyai rakan dari bangsa lain dan secara tak langsung dapat mempelajari budaya mereka.

Seorang lelaki berbangsa India sangat menggemari makanan Melayu dan dia juga mempunyai ramai rakan dari bangsa lain terutama Melayu.

BACA: Rumah Dekat Surau, Lelaki India Boleh Azan & Hafal Surah

Lelaki tersebut dikenali sebagai K. Lingaeeh, 24 tahun, berasal dari Sungai Ruan, Raub, Pahang, berkata sambal hitam adalah makanan utama tiap kali dia makan.

Disebabkan itu, dia selalu meminta ibunya memasakkan masakan Melayu seperti sambal ikan bilis, asam pedas dan macam-macam lagi.

Dia yang mesra dipanggil Lin Gesh juga selalu menolong rakan-rakannya menjual kambing golek untuk majlis keraian atau kenduri kesyukuran.

Bukan itu sahaja, dia seakan sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu bermula dari aktiviti seharian, makanan, sukan dan lain-lain kerana sudah lama bergaul dengan mereka sejak sekolah.

Malah, dia juga fasih berbahasa Melayu dengan loghat Raub yang agak pekat semasa bercakap.

“Kini saya sudah bekerja di Bentong dan masih meneruskan hubungan dengan masyarakat di sini yang rata-ratanya juga orang Melayu,” tambahnya.

Selain itu, dia pernah mencuba untuk puasa pada dua tahun lepas dan berjaya berpuasa selama lapan hari.

“Memang dalam agama Hindu ada juga berpuasa tetapi berbeza dengan agama Islam. Saya akui memang mencabar menahan lapar dan dahaga tetapi saya berjaya mengharunginya walaupun hanya lapan hari,” katanya.

Lin Gesh sangat menghormati rakan-rakannya dan kerana itu dia tidak akan makan di hadapan mereka semasa bulan Ramadan.

Selain itu, dia juga memberi tips untuk menjaga dan mengekalkan persahabatan bersama rakan berlainan bangsa seperti menjaga percakapan, jangan kaitkan isu sensitif dan banyak lagi.

“Ini adalah perkara penting dalam pergaulan dan persahabatan, kita perlu menghormati termasuk dari segi solat dan puasa, jika mereka bersolat saya persilakan mereka dan jika mereka sedang berpuasa kita tidak ganggu ibadat mereka,” jelasnya.

Kita harus menjaga tutur kata agar tak menyinggung perasaan orang lain dan jangan menyalahkan bangsa jika seseorang itu membuat kesilapan bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

ARTIKEL BERKAITAN:
Masuk Islam Sebab Azan
Ini Sebab Lelaki Suka Makan Batu Bata

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Unboxing iPhone X And Giveaway?