Benarkah Cincau Boleh Buat Sendiri Di Rumah?
Musim panas pada ketika ini eloklah jika anda mencari sesuatu bagi menyejukkan badan. Antaranya minum air dengan banyak supaya badan tidak terhidrat.
Salah satu minuman yang digemari ramai ketika musim panas ialah air cincau. Samada hanya air cincau atau air lain yang dicampur dengan cincau seperti teh ais cincau atau air bandung cincau.
Tapi tahukah anda, cicau dibuat daripada sejenis daun? Dan anda boleh buat sendiri cincau di rumah.
Ada dua jenis pokok cincau iaitu pokok cincau hitam dan cincau hijau
Pasti ada di antara anda yang tidak mengetahui bahawa cincau terhasil daripada daun pokok cincau. Ada yang beranggapan cincau adalah sejenis jeli. Tetapi sebenarnya cincau terhasil daripada tumbuhan.
Pokok cincau hitam atau nama saintifiknya mesona palustris berbatang lembut, beruas-ruas menjalar berwarna kemerahan dengan ketinggian 30 hingga 40 sentimeter (sm).
Daunnya berwarna hijau, berbentuk lonjong, bergerigi di tepi, berbulu kecil dan hujung daun yang runcing seperti daun pudina serta amat popular di China, Taiwan, Indonesia dan kini ia semakin popular di Malaysia.
Nama saintifik bagi pokok cincau hijau ini ialah Melasthoma polyanthum ini mudah tumbuh dengan menanam menggunakan keratan batang.
Pokok ini jenis berkayu lembut dan boleh mencecah sehingga 5 meter jika tidak dipangkas. Dahan pokok berwarna coklat gelap berdaun hijau jenis lonjong dan licin serta tebal.
Setiap dahan dipenuhi daun selari antara satu dengan lain. Mudah bertunas jika dipangkas dan menghasilkan akar serabut pada pangkal daun bila pokok sudah berusia. Ia sesuai ditanam di dalam pasu mahupun di tanah.
Pokok cincau hijau sangat mudah untuk dijadikan cincau kerana tidak perlu menunggu daunnya dikeringkan terlebih dahulu malah boleh diproses menjadi cincau dengan serta merta.
Ini cara buat cincau sendiri di rumah
Jika anda tidak mempunyai pokok cincau sendiri di rumah, sebenarnya herba ini boleh dibeli di kedai-kedai ubat cina. Hanya menggunakan 3 bahan asas ini anda boleh lakukan sendiri di rumah.
Bahan-bahan:
- Daun cincau kering (boleh didapati di kedai ubat cina, beli anggaran 5 ringgit)
- 1500ml air
- 4 sudu makan tepung ubi kayu (bancuh dengan sedikit air)
Cara memasak
Rendam daun cincau dengan air 1500 ml ke dalam air selama 30 minit
Rebus daun cincau selama 40 minit, kemudian tapiskan air rebusan tadi untuk asingkan daun.
Bancuh 4 sudu besar tepung ubi kayu bersama sedikit air, kacaukan selama 15 minit kemudian biarkan seketika.
Tuang adunan ke dalam bekan. Biarkan sejuk. Kemudian masukkan ke dalam peti sejuk dan sedia untuk dihidangkan.
Cara-cara bagi menghasilkan cincau hijau agak mudah berbanding cincau hitam. Anda hanya perlu sediakan 30 helai daun cincau yang dicuci bersih dan ditoskan. Kemudian carik-carikkan daun tersebut menjadi serpihan kecil menggunakan tangan atau pisau.
Tuang kira-kira 50 ml air yang telah dimasak ke dalam besen. Dan mula meramas daun-daun tersebut hingga keluar patinya. Tapis cecair cincau dengan menggunakan penapis. Masukkan segala daun tersebut ke dalam penapis dan ramas serta tekan untuk memaksa pati keluar dari sisa daun.
Ulang proses ini sehingga 3 atau 4 kali seperti di atas untuk mengeluarkan pati dari daun-daun tersebut.
Jika buihnya terlalu banyak, gunakan sudu untuk mengeluarkan lebihan buih tersebut. Bila buih telah dikeluarkan biarkan pati cincau ini seketika supaya proses pemejalan pati cincau berlaku secara semula jadi. Apabila pati cincau kelihatan pejal bolehlah dihidangkan. Selamat mencuba
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pening Kepala Pekena Butter Beer?
Sumber: tanomkinotuan