BR1M Akan Dikurangkan Sedikit Demi Sedikit Sebelum Dihapuskan
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan akan mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedikit demi sedikit sebelum ianya dihapuskan.
Memetik laporan The Malaysian Insight (TMI) dalam wawancara bersama Mahathir, beliau memberitahu langkah itu akan dilakukan supaya rakyat tidak bergantung kepada kerajaan.
BACA: BR1M Diberi Sebelum Hari Raya, Ganti Nama Lain
“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.
“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik. Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” kata beliau kepada TMI.
Beliau turut mengulas pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini ‘memanjakan rakyat’ dengan memberikan mereka wang tanpa melakukan kerja.
“Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka. Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M).
“Tetapi rakyat masih mahukan BR1M. Mereka menjadi sangat bergantung kepada kerajaan dan ini adalah tidak baik. Mana-mana negara yang rakyatnya berasa kerajaan akan membayar wang walau tidak melakukan apa-apa, ia akan muflis,” katanya.
Tambah Perdana Menteri ke-7 itu lagi, objektif kerajaan baru adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin menerusi pelaburan asing dan domestik.
Sebelum ini Pakatan Harapan mengumumkan akan menggantikan BR1M apabila berjaya mengambil alih kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Menurut Mahathir bantuan baru itu akan dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup Malaysia, namun setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman berhubung perkara itu.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Meletop Perut Makan Burger Tsunami & Western Talam?
- SUMBER
- MalaysiaKini