Ini 3 Versi Sejarah Siapa Pencipta Nasi Dagang
Sebut sahaja nasi dagang pasti anda sudah terbayang tekstur nasi yang lembut, digandingkan pula bersama kuah kari ikan tongkol yang pekat digaul bersama nasi kemudian tunas rasa mula berubah bila menyuap acar jelatah masam manis.
Nasi dagang sebagai hidangan terkenal masyarakat Pantai Timur terutama di Terengganu dan Kelantan ini turut digemari hampir seluruh rakyat Malaysia. Maka tak hairan jika banyak pengusaha restoran menyediakan hidangan nasi dagang di kebanyakan negeri di Pantai Barat.
Tidak banyak perbezaan antara nasi dagang Terengganu dan Kelantan. Hanya penggunaan beras yang menunjukkan kelainan namun keenakkan dua jenis nasi dagang ini tiada bandinganya.
Negeri Kelantan dan Terengganu menjadikan hidangan nasi dagang sebagai makanan identiti masyarakat di sana selain budu atau keropok lekor. Namun ada cerita menarik dari sudut sejarah tentang penciptaan nasi dagang.
Pencarian kami tentang sejarah penciptaan nasi dagang agak sukar kerana kekurangan maklumat yang sahih dan kami jauh dari negeri Pantai Timur. Namun hasil carian kami hanyalah bersumberkan dari cerita nenek moyang yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Kami himpunkan 3 versi berbeza tentang penciptaan nasi dagang dan sejarahnya.
Baca: 5 Perkara Menarik Tentang Nasi Dagang Pak Malau
1. Nasi dagang merupakan resepi asal orang Bugis
Dalam satu blog yang dikenali sebagai ‘Arung Bugis‘ telah menceritakan satu kisah yang diambil dari cerita orang-orang tua berkenaan sejarah nasi dagang.
Menurut penulis blog tersebut dari apa yang diceritakan oleh orang-orang tua nasi dagang pada mulanya tidak dibuat oleh orang tempatan negeri Terengganu tetapi ianya dibuat oleh orang Bugis yang datang berdagang.
Nasi dagang mulanya dibuat secara tidak sengaja oleh orang Bugis yang berada di Terengganu. Peristiwa terciptanya nasi dagang terjadi semasa persediaan untuk menyambut hari raya Aidil Fitri.
Telah menjadi kebiasaan ketika itu, rakyat akan memberi persembahan kepada istana dan sebahagiannya adalah untuk rakyat jelata menjamu hidangan itu di perkarangan masjid sebaik selesai bersembahyang hari raya.
Kemudian, orang-orang Bugis yang menetap di Terengganu bercadang untuk turut menyediakan juadah istimewa bagi dipersembahkan kepada baginda Sultan yang memerintah Terengganu pada masa itu dan juga bagi memeriahkan jamuan rakyat selepas sembahyang raya.
Orang-orang Bugis telah sepakat di kalangan mereka untuk membuat makanan Bugis secara bergotong-royong.
Orang-orang Bugis dikatakan telah bercadang untuk membuat sejenis ketupat dalam daun pisang iaitu ‘burasak’ dan dimakan bersama gulai ikan aya. Serta mereka juga akan membuat sejenis lepat dengan cara yang sama.
Namun telah terjadi satu peristiwa di mana, semasa kerja mencuci beras untuk membuat burasak telah tercampur dengan beras pulut untuk dibuat lepat tanpa disedari sehinggalah kerja mengukus dibuat.
Cerita orang-orang Bugis sedang menyiapkan juadah istimewa telah sampai ke pengetahuan Sultan. Baginda amat teringin untuk melihat kerja orang Bugis itu dan mengajak beberapa orang pembesar pergi melawat orang-orang Bugis yang sedang memasak makanan tersebut.
Ketika orang-orang Bugis sedang sibuk mengukus nasi dan dalam keadaan yang agak kelam kabut, sukatan santan yang dicampur ke dalam beras telah terlebih daripada biasa.
Bau harum santan dan daun pisang serta dari wap nasi yang dikukus itu telah membuatkan selera Sultan terbuka.
Tiba-tiba Sultan bertitah, beta ingin merasa sedikit. Maka, nasi bercampur santan itu telah dipersembahkan kepada Sultan, lalu disantap sedikit oleh Sultan.
Sultan tersenyum dan bertitah; “Beta mahu, NASI ORANG DAGANG ini dipersembahkan kepada Beta untuk santapan pagi esok”. Maka di sinilah bermulanya perkataan Nasi Dagang.
Rahsia burasak dan lepat belum siap serta beras bercampur itu tersimpan kukuh, mereka sepakat di kalangan orang-orang Bugis bagi mengelakkan kemurkaan Sultan, dibimbangi sekiranya Sultan tahu yang baginda telah santap hidangan yang belum lagi disiapkan sepenuhnya.
Sehingga hari ini, rahsia resepi burasak itu tersembunyi dalam nasi dagang dan tidak banyak diketahui orang. Bagi orang-orang Terengganu yang berketurunan Bugis, mereka masih lagi boleh dikenal apabila makan nasi himpit bersama gulai ikan aya.
2. Nasi dagang dicipta oleh Puteri Saadong Raja Perempuan Kedua Memerintah Kelantan 1667-1671
Pencarian kami berkenaan sejarah penciptaan nasi dagang kini beralih ke negeri Kelantan. Satu versi yang agak menarik untuk dikupaskan. Sumber tetap sama iaitu dari penceritaan orang-orang tua yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Seorang penulis bernama Muhamad Zain Salih telah menceritakan kisah penciptaan nasi dagang oleh Puteri Saadong menerusi blognya ‘Pondok Rahman‘.
Puteri Saadong adalah anak kepada Raja Loyor dan datuknya Raja Sakti. Puteri Saadong dijadikan keluarga angkat oleh Cik Siti Wang Kembang, Raja Perempuan Kelantan Yang Pertama.
Puteri Saadong telah berkawhin dengan sepupunya Raja Abdullah putera Sultan Samiruddin, iaitu Raja Jembal.
Mengikut cerita, salah seeorang daripada Raja Siam telah terpesona dengan Puteri Saadong, lalu menangkapnya dan membawanya ke Siam untuk dijadikan permaisurinya, walaupun tanpa persetujuan Puteri Saadong.
Oleh kerana keberkatan Putersi Saadong Raja Siam tidak boleh mendekati ataupun menyentuhnya. Raja Siam menghidap sejenis penyakit kulit yang misteri yang tidak dapat disembuhkan dalam tempoh yang lama.
Puteri Saadong menawarkan pertolongan dengan syarat beliau dihantar kembali ke Kelantan jika penyakit Raja Siam itu sembuh. Ditakdirkan setelah dirawat penyakit Raja Siam itupun sembuh.
Rombongan yang membawa Puteri Saadong itu sampai ke Kelantan dan berlabuh di Kuala Kemasin. Pada masa itu bekalan yang mereka bawa, seperti beras, lauk pauk, kelapa dan sebagainya hampir kehabisan.
Puteri Saadong dengan kebijaksanaanya telah memasak nasi dengan menggunakan bahan bahan yang sedikit itu untuk mereka makan.
Masakan itu dinamakan “Nasi Dagang” mengambil sempena keadaan mereka yang berdagang itu.
3. Berkemungkinan dibawa oleh pedagang dari Champa atau Jawa
Menurut satu catatan dari blog ‘Sejarah Kelantan‘ pula mengatakan terdapat teori bahawa makanan ini dinamakan sebgeitu kerana ia berkemungkinan dibawa oleh pedagang sama ada dari champa atau jawa.
Ini kerana nasi mereka diketahui umum seakan-akan nasi pulut berbanding nasi tempatan kita yang dikenali sebagai Beras Pamah yang mudah basi jika tidak dihangat.
Nasi pulut ini lebih tahan daripada nasi beras pamah yang mudah basi dan ia sesuai dibawa ketika pelayaran.
Nasi ini pula sangat mudah dimakan dengan pelbagai lauk seperti yang tersenarai diatas. Kerana itu, orang tempatan menamakan ia sebagai Nasi Dagang.
Perlu ada kajian terperinci mengenai sejarah makanan tempatan
Pasti ramai diantar kita yang mengharapkan banyak kajian dilakukan bagi merungkai sejarah identiti makanan masyarakat kita. Bukan hanya nasi dagang malah banyak lagi makanan yang masih kabur tentang sejarah penciptaanya.
Adalah menjadi kebanggan sesebuah tamadun jika dapat mengetahui sejarah kegemilangan mereka sendiri.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pening Kepala Pekena Butter Beer?
Sumber: arungbugis, pondokrahman, sejarahkelantan