Ini Punca Sebenar Kes Keracunan Laksa Kebok
Setelah menunggu agak lama akhirnya teka-teki kini terjawab mengenai kes keracunan makanan akibat laksa yang telah menyebabkan kematian 2 orang mangsa.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia semalam telah mengesahkan punca sebenar keracunan makanan akibat laksa yang tular sebelum ini.
BACA: Laksa Didakwa Beracun, Ini Penjelasan Pemilik Gerai
Terdapat agen penyebab keracunan makanan dalam sample mi laksa
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan status terkini kejadian keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca dari memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah.
Tiada kes baru dikesan sejak 9 Oktober 2018 dan jumlah keseluruhan kes kekal 83 kes termasuk dua (2) kematian; dengan pecahan 34 kes di Perak [termasuk dua (2) kes kematian], 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Semua kes yang dirawat di hospital telah didiscaj.
Berdasarkan hasil siasatan dan keputusan makmal yang lengkap diperolehi pada 21 Oktober 2018, agen penyebab keracunan makanan ini adalah Salmonella enterica serovar Weltevreden.
Bakteria ini telah dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan sampel mi laksa yang terlibat. Untuk makluman, dengan menggunakan kaedah ujian Pulse Field Gel Electrophoresis (PFGE), didapati bakteria tersebut berpunca dari satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober 2018 dari gerai terbabit.
Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober tersebut dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai tersebut.
Proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih
Antara faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih, serta suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesan dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman.
Pada 21 Oktober 2018 petang, tuan punya gerai menjual mi laksa yang terlibat telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling berkaitan hasil siasatan yang dijalankan.
Apa itu bakteria Salmonella?
Salmonella enterica serovar Weltevreden adalah salah satu dari serotaip bakteria Salmonella spp. Jangkitan oleh bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit.
Jangkitan lazimnya berlaku akibat pencemaran makanan dan air oleh bakteria ini. Bakteria ini berpunca dari faktor manusia, haiwan perosak dan haiwan peliharaan.
Punca rebakan pula melalui pencemaran silang daripada makanan dan daging mentah ke makanan yang telah dimasak semasa penyediaan atau penyimpanan dan pencemaran silang pengendali makanan daripada haiwan
Gerai laksa diarah tutup
Gerai menjual laksa yang terlibat telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober 2018.
Tuan punya gerai harus mengambil langkah-langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya. Tuan punya gerai terbabit juga telah dimaklumkan sekiranya semua keperluan ini dipatuhi maka premis ini boleh dibuka semula.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Restoran Tom Yam Paling Legend Di Ampang😱🔥
Sumber: kpkesihatan.com