Ini Sebab Nasi Lemak Masuk Majalah Time
Aroma yang mengasyikan meransang deria rasa lantas merembes feromon serta asid di dalam perut membawa kepada sifat meronta kelaparan mahu menjamah karya agung masyarakat Melayu.
Sebungkus nasi lemak daun pisang atau sepinggan nasi lemak ‘telur mata’ bersama rendang ayam sangat didambakan penggemarnya di pagi hari.
Seni indah dan ringkas yang melanggar aspek seni kulinari ini meruntuhkan norma piramid pemakanan seimbang. Tanpa mengira usia, bangsa, mahupun susun atur sosioekonomi pasti tanpa prijudis akan menyuap sebungkus mahupun sepinggan hidangan nasi lemak.
Hidangan tradisi masyarakat ini didatangkan dengan pelbagai jenis kuah, lauk jenis bersambal, rendang,sambal ikan, udang, sotong, ayam sebut sahaja apa sekalipun adunannya pasti tetap serasi bersama beras yang dimasak dengan santan segar bersama keunikan aroma halia daun pandan dan juga lada hitam.
BACA Nasi Lemak 50 Sen Masih Wujud?
Anatomi sebungkus nasi lemak
Seracara harfiah telah terbit satu hidangan yang penuh dengan seni pemakanan berkibohidrat tanpa rasa sesal bagi penggemarnya. Keranggupan ikan bilis goreng dan kepejalan telur rebus pasti mengaktifkan kembali rahang untuk kembali bekerja.
Setiap suapan nasi yang bergaul dengan sambal yang merah dan menyerlah sudah tentu akan menyentap deria rasa lalu ‘ditawarkan’ kembali dengan potongan-potongan timun.
Keenakan tidak akan terhenti bilamana hidangan nasi lemak ini dipadankan dengan rendang ayam, sambal sotong dan sambal udang bagi yang menggemari kelainan dari sifat asal hidangan nasi lemak.
Dengan kehadiran telur ‘mata kerbau’ yang mencair di setiap suapan pasti sangat mengasyikkan. Hidangan lazim di waktu pagi ini pasti tidak mudah dilupakan para penggemarnya.
Sejarah penciptaan nasi lemak
Meyelusuri sejarah penciptaan karya agung ini, tidak dapat dipastikan dengan jelas siapa, bila dan di mana terciptanya nasi lemak.
Namun dipercayai sejarah awal wujudnya nasi lemak bermula ketika masyarakat Melayu yang menetap di pinggir pantai.
Pada asalanya dipercayai hidangan nasi lemak ketika itu terdiri daripada nasi, ikan selar kuning goreng dan juga sambal.
Dengan memaksimumkan penggunaan bahan-bahan yang mudah didapati di kawasan sekitar seperti buah kelapa untuk menghasilkan santan, kangkung yang tumbuh meliar, dan ikan yang ditangkap di laut, maka terciptalah satu karya agung yang digelar nasi lemak.
Daun pisang satu kejuruteraan penting dalam penciptaan nasi lemak
Penggunaan daun pisang sebagai bungkusan juga merupakan satu kejuruteraan penting dalam aspek teknikal penciptaan nasi lemak.
Selain berfungsi sebagai pembungkus yang utuh daun pisang juga bertindak sebagai pengawet dan menambah aroma kepada sifat nasi lemak yang lembab sekaligus menjadikan nasi lemak itu bertahan lebih lama.
Disebabkan terdapat kandungan polifenol pada daun pisang yang bertindak sebagai agen anti pengoksidaan, malah penggunaan daun pisang baik untuk kesihatan dan penghadaman.
Zat lilin yang terdapat pada daun pisang bertindak sebagai lapisan kalis air bagi mengelak kuah dari tumpah dan mengekalkan kepanasan bila diletakkan dengan nasi panas.
Oleh kerana nasi lemak mempunyai jumlah kalori/ tenaga yang tinggi. komposisi lemak yang tinggi ini dapat membekalkan tenaga yang lebih baik dari karbohidrat, kebanyakan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, Selatan Thai, Brunei dan Singapura, menjadikan nasi lemak sebagai bekalan untuk santapan di permulaan hari.
Nasi lemak diiktiraf majalah TIME?
Nasi lemak pernah dilanda kontroversi, dikatakan sebagai tidak begitu sihat untuk dimakan setiap hari kerana kandungan kalori yang tinggi oleh pakar pemakanan.
Ketika Persidangan Kesihatan Kedua Perak 2007, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Malaysia, telah meletakkan nasi lemak sebagai satu ‘makanan segera’.
Namun pada tahun 2016 nasi lemak diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 sarapan antarabangsa yang paling sihat oleh majalah antarabangsa terkenal, TIME.
Dalam kandungan majalah berprestij itu, walaupun nasi lemak sering dilabel sebagai makanan berlemak, namun nasi yang dimasak menggunakan santan kelapa tetap mengandungi lemak yang baik untuk kesihatan badan.
“Memang ia mengandungi kandungan lemak lebih daripada apa yang kita perlukan (kurangkan pengambilan nasi) tetapi makanan itu adalah sarapan yang seimbang. Ini kerana ia mengandungi pelbagai nutrisi termasuk manganese, protein dan karbohidrat. Kandungan cili dalam sambal (nasi lemak) boleh membantu meningkatkan metabolisme,” lapor majalah TIME.
Nasi lemak sebagai ‘ikon’ sarapan
Kini Hidangan nasi lemak boleh ditemui di semua bahagian di Malaysia dan juga Singapura. Di Indonesia, nasi lemak lazimnya ditemui di pesisir timur Sumatera, terutama di Riau, Jambi dan Sumatera Utara.
Di Indonesia Nasi lemak dikatakan telah di perkenalkan oleh pekerja dan Mahasiswa yang pernah menetap mahupun bekerja di Malaysia.
Nasi lemak tidak lagi hanya dimakan pada waktu sarapan malah turut dimakan pada waktu malam. Nasi lemak terus menjadi Ikon dan identiti kita sebagai pelengkap permulaan hari. Terima kasih kepada penciptaan nasi lemak.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram