Kalau Salah Kira, Mak Cik Belanja?
Walaupun terdapat pelbagai jenis alat teknologi canggih dan moden dicipta untuk memudahkan kehidupan seharian kita, namun bagi pemilik sebuah kedai makan di Kuala Terengganu memiliki caranya tersendiri dalam mengira bil pelanggan yang makan di kedainya tanpa bantuan penggunaan kalkulator sama sekali.
BACA: Jual Lauk Serendah RM1 Sesenduk
Dalam video berdurasi 1:24 saat itu kelihatan pemilik Kedai Makan Bibi, Bibi Ana Abdul Wahid, 52 tahun, sedang mengira bil para pelanggannya dengan hanya menyebut nama makanan dan harga makanan seterusnya memberitahu jumlah yang perlu dibayar oleh mereka.
Bibi atau lebih dikenali sebagai “makcik kira laju” memberitahu pihak mStar bahawa pengalaman berniaga selama 32 tahun membantunya untuk cekap dalam mengira bil pelanggan-pelanggannya.
“Bisnes lama dah, makcik masak, makcik jual dan makcik kira. Semua menu dan harga makcik tahu belaka. Bila nak mengira makcik rasa lagi senang guna ‘kepala’, pen dan kertas pun lambat,” ujarnya.
Menurutnya, dia memiliki formula yang tersendiri untuk mengira bil dengan cepat dan tepat iaitu dengan menggenapkan harga hidangan dengan sifir lima untuk memudahkan dia mengira bil.
“Contohnya harga minuman dan makanan di sini semuanya makcik letak RM2, RM2.50, RM3, RM3.50 dan seterusnya, tak ada RM2.60, RM2.70 atau RM2.80. Walaupun kedai ini dibuka untuk makan pagi, tapi menunya ada banyak pilihan jadi pengiraan mesti cepat,” jelasnya.
Selain itu, antara menu yang boleh didapati di Kedai Makan Bibi ialah nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak, lontong, pulut kuning serta lauk-pauk seperti daging kambing dan ayam kampung.
Cabaran yang dilalui oleh Bibi mengira bil tanpa bantuan kalkulator apabila pelanggannya berasa agak ragu-ragu dengan pengiraannya dan akan memintanya mengira lagi sekali.
“Biasanya orang luarlah, orang sini dah tahu dah. Kalau berlaku macam tu makcik akan tunjuk harga di menu dan ulang kira seperti yang diminta,” katanya.
“Alhamdulillah setakat ini tak ada salah lagi, kalau salah beritahu makcik, makcik belanja makan,” tambahnya sambil bergurau.
Sekarang ini memang bagus jika pemilik kedai atau pekerja mengira jumlah makanan di hadapan pelanggan supaya lebih jujur dan meyakinkan pelanggan yang datang ke kedai makan mereka.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Nasi Lemak Senawang RM1 Je?
- SUMBER
- MSTAR