Kehidupan Pasangan Ini Berubah Selepas Jual Kuih 10 Sen
Bukan mudah untuk mengekalkan harga makanan murah di zaman yang serba mahal ini. Tetapi percaya atau tidak masih wujud lagi kuih muih berharga 10 sen, berbeza dengan tempat lain rata-rata meletakkan harga 50 sen sebiji.
Sepasang suami isteri ini tidak menyangka keputusan untuk menjual cucur dan kuih-muih dengan harga 10 sen sebiji mampu mengubah kehidupan mereka sering kesempitan wang sebelum ini.
BACA: Sate Ayam 30 Sen Masih Wujud
Pasangan suami isteri tersebut Nurul Syafini Abd Manap, 35 dan Mohd Hasmi Idris, 39, mula menjual pelbagai jenis cucur dan kuih muih bersaiz mini di gerai mereka di Jalan Keranji, Kulim, sejak dua bulan lalu.
Syafini berkata, sebelum ini suami bekerja makan gaji sebagai pembantu kedai yang diberi upah antara RM30 hingga RM40 sehari. Namun pendapatan suaminya itu tidak cukup untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan anak ke sekolah.
“Tapi sejak saya dan suami ambil keputusan berniaga cucur sekupang (10 sen), Alhamdulillah rezeki kami tidak putus, sentiasa ada duit, mungkin kerana niat bersedekah kepada pelanggan, walaupun untung kami tidak banyak,” katanya.
Menurut ibu kepada enam orang itu, cucur atau kuih muih bersaiz mini yang dijual mendapat sambutan menggalakkan dan kebiasaannya akan habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja.
Mohd Hasmi berkata sebelum ini dia membantah cadangan isterinya untuk menjual kuih dan cucur pada harga 10 sen kerana bimbang tidak akan mendapat keuntungan.
Katanya lagi, dia kasihankan isteri yang terpaksa bangun awal untuk buat persiapan dan sebelah malam baru boleh berehat seperti tidak berbaloi menjual pada harga tersebut.
Namun, Mohd Hasmi bersyukur pengorbanannya dan isteri berbaloi apabila kuih dan cucur mereka mendapat permintaan tinggi dan perlu menyediakan antara 2,000 hingga 2,500 biji setiap hari untuk memenuhi kehendak pelanggan.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Lubuk Nasi Ngidey Resepi 4 Generasi 🔥🔥
- SUMBER
- Sinar Harian