Kek Lapis Sarawak Asalnya Resepi Orang Indonesia?
Kek lapis Sarawak merupakan kuih pemanis mulut yang wajib ada di meja makan orang sarawak. Pemanis mulut yang sangat enak dan berseni ini merupakan satu juadah kebanggaan orang Sarawak.
Tekstur yang lembut serta padat pada kek ini menjadikan setiap gigitan begitu sempurna dan sangat menyelerakan. Di datangkan dengan pelbagai perisa seperti keju coklat, masam manis, blueberry dan bermacam lagi, kek lapis Sarawak juga turut didambakan oleh orang-orang Semenanjung.
Menyingkap sejarah penciptaan karya agung orang sarawak ini adalah penting untuk kita mengetahui asal-usul kek lapis yang dahulunya dikatakan dibuat bagi mengisi masa lapang oleh wanita-wanita Melayu di Sarawak.
Benarkah kek lapis Sarawak pada asalnya merupakan resepi yang dibawa oleh orang Indonesia dan diperkenalkan di Sarawak.
Kek lapis Sarawak mula popular sekitar tahun 1990an
Kek Lapis Sarawak adalah hasil kerja tangan tradisi warga Bumi Kenyalang yang diwarisi secara turun temurun. Penghasilan Kek Lapis Sarawak perlu melalui proses manual yang amat teliti, rumit dan memakan masa maka tidak hairanlah harganya yang sedikit mahal.
Kesabaran dan kesenian yang tinggi akan menghasilkan Kek Lapis Sarawak yang begitu menarik dalam kepelbagaian corak, rasa dan saiz.
Menyingkap sejarah pembuatan dan penciptaan kek lapis Sarawak difahamkan ia telah dibuat di Jakarta, Indonesia sejak tahun 1970-an dan 1980-an.
Ketika itu, orang Betawi datang ke Sarawak dan mengajar orang-orang melayu Sarawak bagaimana untuk membuat kek Betawi berempah.
Setelah beberapa ketika, orang-orang Sarawak mula menggemari kek lapis ini dan hasil idea kreatif dengan menambah bahan-bahan baru, rasa dan warna maka telah terciptalah versi baru kek lapisan yang apa kita kenal sekarang sebagai kek lapis Sarawak.
Revolusi kek lapis Sarawak tidak terhenti disitu, pada tahun 2011 kek lapis Sarawak telah didatangkan dalam versi baru dikenali sebagai qalas-qalas.
Qalas-qalas mempunyai DNA yang sama seperti Kek lapis Sarawak. Ia cuma mengalami penambah baikan dari segi corak yang lebih simetri, warna yang menarik dan kepelbagaian rasa.
Kek lapis Sarawak mula menjadi fenomena dikalangan masyarakat Sarawak sekitar tahun 1990an apabila kek ini menjadi hidangan popular ketika musim perayaan.
Asalnya, pembuatan kek lapis Sarawak oleh wanita Melayu sebagai hobi dan tujuan suka-suka untuk dimakan bersama keluarga, kini terdapat ribuan pengusaha kek lapis Sarawak bagi tujuan komersial.
Semenanjung juga turut terkena tempias dari fenomena kek lapis Sarawak ini. Terdapat pengusaha kek lapis Sarawak dari Semenanjung yang menggunakan resepi tradisi kek lapis Sarawak untuk dijual di pasaran semenanjung.
Harga pasaran kek lapis yang seberat 700 gram dijual antara RM25 hingga RM42 sementara kek lapis 2.5 kilogram berharga di antara RM90 sehingga RM170.
Kek lapis yang diletak di luar peti sejuk boleh bertahan sehingga satu minggu manakala jika disimpan dalam peti sejuk dan tidak dipotong, ia mampu bertahan sehingga enam bulan.
Di Indonesia digelar sebagai Lapis Lengit
Jika di Indonesia kek lapis ini digelar lapis lengit. Mempunyai ciri-ciri yang sama seperti kek lapis Sarawak, lapis lengit lebih berperisa rempah.
Lapis lengit mula popular di Jakarta Indonesia sekitar tahun 60an dan 70an. Resepi asli lapis lengit banyak menggunakan rempah ratus dalam pembuatannya seperti kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang.
Maka tidak hairanlah jika kek lapis Sarawak mempunyai susur galur dari lapis lengit Indonesia.
Kek Lapis Sarawak sebagai hak cipta Melayu Sarawak?
Adalah tidak dipastikan sejarah jelas tentang asal-usul kek lapis Sarawak. Tiada catatan bertulis atau bukti kukuh yang menyatakan kek lapis Sarawak berasal dari Indonesia. Ia hanya diceritakan secara turun-temurun dan dari mulut ke mulut.
Apa yang menariknya terdapat juga perdebatan mengenai asal-usul kek lapis Sarawak kerana ada yang mendakwa ia merupakan resepi asal kaum Melayu Sarawak dan Brunei.
Perkara ini telah didedahkan dalam satu forum yang membincangkan perihal kek lapis Sarawak. Dalam satu komentar forum tersebut bertarikh 6 Julai 2011 seorang pengguna mengatakan kek lapis Sarawak merupakan resepi asal Melayu Sambas.
Dalam forum tersebut beliau menjelaskan pada asalnya kek lapis digelar kuih lapis oleh orang dahulu. Akibat peredaran masa dan pengubahsuaian, maka kuih lapis telah digelar kek lapis hingga sekarang.
Beliau juga mengatakan asal-usul kek lapis adalah dari kuih lapis yang merupakan hidangan dari bangsa Melayu Sambas. Bangsa Melayu Sambas merupakan kaum Melayu di daerah Kalimantan.
Adalah sangat menarik jika ada pihak yang tampil untuk mengembangkan kajian mengenai hidangan tradisi bumi Kenyalang ini. Kek lapis Sarawak merupakan identiti dan lambang kebanggaan rakyat negeri Sarawak.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Nasi Kukus King Di Setapak Ditemui! (Beratur Panjang)
Sumber: Wikipedia, Utusan, bmcari.com