Berikutan kejadian sebuah restoran mamak terkenal Kuala Lumpur tular di laman sosial Facebook kerana harga kari kepala ikan yang tidak masuk akal, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ‘menerjah’ restoran itu hari ini.

BACA: Makan Nasi Campur, Dua orang Dicaj RM100

Penolong Pengarah Unit Anti Pencatutan Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Fredlee Sintau, memberitahu pihaknya membuat pemeriksaan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 di restoran berkenaan.

Menurutnya, satu notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada pengusaha restoran itu untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit mengenai kejadian harga kari kepala ikan mencecah RM600.

Fredlee turut berkata restoran itu mempamerkan tanda harga bagi semua makanan dan minuman yang dijual tetapi perlu diberi penekanan secara terperinci terhadap lauk kari kepala ikan.

“Sebagai contoh, berapa harga untuk kari kepala ikan saiz kecil, sederhana dan besar. Penandaan harga lebih khusus ini untuk mengelakkan kekeliruan pengguna,” jelasnya kepada mStar.

Berikutan itu, siasatan masih dijalankan terhadap premis tersebut dan pihaknya menasihati supaya pengguna menyemak harga atau bertanya kepada pemilik kedai bagi mengelakkan kekeliruan.

Terdahulu, seorang pengguna laman sosial Facebook menceritakan kisahnya bersama keluarga yang makan kari kepala ikan berharga RM600 di sebuah restoran mamak terkenal di Kuala Lumpur dua hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:
KPDNKK: Harga Nasi Campur RM100 Berpatutan
Ini Harga Nasi Paling Mahal Di Singapura!

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Singgah Sarang Mr. Burung Di Port Dickson