Kisah Sedih Ibu Terpaksa Simpan Jenazah Anak Dalam Peti Mayat
Tak tahu kami nak gambarkan macam mana perasaan bila terbaca berita mengenai perkara ini di dalam Harian Metro. Rasa pilu ada, sebak ada, rasa bersalah sebab tak dapat menolong pun ada – tapi apatah lagi perasaan ibu sendiri yang terpaksa melalui situasi sebegini.
BACA: Dituduh Manjakan Anak Dengan Gajet, Bapa Jelaskan Cerita Sebenar
Memetik laporan portal berita tersebut, Kamaliah Ismail, 21 tahun telah diserang sawan berkali-kali pada 15 Ogos lalu. Anak yang dikandungnya berusia enam bulan itu bagaimanapun meninggal dunia dan terpaksa dibedah segera untuk mengeluarkan bayi berkenaan.
Namun oleh kerana tidak cukup wang untuk menguruskan pengebumian berjumlah RM500, jenazah anaknya itu terpaksa diletakkan dalam peti mayat selama tiga hari di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Maafkan ibu, sayang. Kalaulah ibu berduit, mungkin awak boleh dikebumikan dengan cepat”
“Saya koma selama tiga hari dan tidak dapat menatap wajah anak sehingga dia dikebumikan. Hidup saya gelap apabila ibu mentua memaklumkan perkara itu sebaik sedar.
“Kesedihan saya tidak boleh digambarkan dengan kata-kata kerana saya bukan sahaja tidak berpeluang memeluk anak buat kali pertama dan terakhir, tetapi dia juga terseksa apabila perlu menunggu tiga hari untuk dikebumikan,” kongsinya.
Tambah ibu ini lagi, dia menyalahkan dirinya kerana tidak mampu menyediakan wang pengurusan jenazah bagi anak sulungnya itu.
“Semua ini tidak akan berlaku jika saya ada duit. Saya tidak tahu bila saya boleh maafkan diri sendiri dan sehingga kini saya masih termimpi wajah anak yang pergi meninggalkan saya.
“Dalam kejadian ini, tiada pihak yang patut disalahkan melainkan diri sendiri. Maafkan ibu sayang, semua ini salah ibu,” katanya.
Suami wanita berkenaan tidak mempunyai pekerjaan tetap manakala ibu mentuanya pula perlu menguruskan perbelanjaan Kamaliah untuk berpantang dengan hasil mengasuh kanak-kanak sebanyak RM500 sebulan.
Keluarga Kamaliah berjaya mengusahakan wang sejumlah RM250 namun belum cukup untuk menanggung sepenuhnya proses pengembumian. Terima kasih atas bantuan sepenuhnya oleh Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), jenazah anak syurga ini selamat dikebumikan pada 18 Ogos.
Apa-apa pun, semoga perjalanan kehidupan keluarga ini sentiasa dipermudahkan di masa hadapan.
- SUMBER
- HARIAN METRO