Kurung Anak Dalam Sangkar, Dera Sampai Mati Sebab Tak Mahu Mandi
Mak bapak dari neraka, hanya itu yang dapat diungkapkan apabila membaca kes sedang hangat diperkatakan yang berlaku di Singapura ini.
Sepasang suami isteri mendera kejam anak lelaki mereka berusia lima tahun dengan mengurungnya dalam sangkar kucing.
BACA: Sumbat Cili Ke Mulut Budak, Pengasuh Dipenjara 10 Tahun Lagi
Malah, turut menyimbahnya dengan air menggelegak semata-mata tidak mahu mandi, sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu.
Memetik laporah Harian Metro, Azlin Arujunah dan suaminya Ridzuan Mega Abdul Rahman, kedua-duanya 27 tahun, sering memukul mangsa termasuk menggunakan penyapu.
Lebih menyedihkan, kanak-kanak itu juga tempang sedikit kerana tempurung lututnya senget akibat didera.
Pasangan suami isteri itu dihadapkan di mahkamah semalam atas kesalahan mendera anak mereka sehingga menyebabkan kematian.
Dalam perbicaraan hari pertama itu, mahkamah diberitahu mangsa dikurung dalam sangkar kucing pada 22 Oktober 2016, kerana enggan mandi sebelum bapanya mencurahkan air sepanas sekurang-kurangnya 92 Celsius pada belakang dan betisnya.
Susulan itu, mangsa rebah dan terus tidak bergerak, namun ibu bapanya tidak membawanya ke hospital, sebaliknya menunggu enam jam sebelum mendapatkan rawatan.
Malangnya, dia meninggal dunia sehari kemudian dan pasangan itu ditahan susulan laporan dibuat terhadap mereka oleh pihak hospital.
Saksi pendakwa pertama, Profesor Madya Loh Tsee Foong berkata, mangsa mengalami lecuran tahap ketiga yang meliputi 75 peratus badannya, kecederaan buah pinggang akut, penyahhidratan, patah hidung, luka pada wajahnya selain lambat bertutur.
Bukan itu sahaja, mahkamah diberitahu, bapa mangsa sebelum itu pernah menekapkan sudu yang dipanaskan pada tapak tangan mangsa kerana ‘mencuri’ susu tepung untuk dimakan.
Mangsa juga pernah dilecurkan dengan air panas sekurang-kurangnya empat kali sebelum kematiannya.
Difahamkan, mangsa diserahkan sebagai anak angkat selepas kelahirannya pada 2011 tetapi kembali bersama ibu bapa kandungnya pada 2015. Mangsa mula didera kira-kira setahun selepas itu.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pisang Goreng & Sambal Kicap, Ngam Tak? #FavouriteOrangJohor
- SUMBER
- Harian Metro