Lemang Periuk Kera Dapat Sambutan Hangat
Lemang ialah makanan yang enak dimakan bersama rendang atau serunding. Sebelum ini, lemang buluh merupakan kegemaran orang ramai tetapi kini lemang periuk kera mendapat sambutan hangat oleh peminat lemang.
BACA: 5 Perkara Anda Perlu Tahu Pasal Lemang Sushi
Disebabkan sukar mencari buluh untuk dibuat lemang, seorang penjual lemang bernama Ahmad Kamal Awang, 45 tahun, mengambil keputusan untuk membuat lemang menggunakan periuk kera.
Permintaan lemang yang sangat tinggi menyebabkan buluh semakin sukar untuk didapati memaksa Ahmad mencari jalan alternatif lain untuk membuat lemang.
“Oleh itu, saya mula menyediakan lemang dengan daun periuk kera yang banyak tumbuh di Muadzam Shah, Pahang. Ia lebih senang dan murah berbanding buluh,” kata Ahmad yang berniaga lemang periuk kera di bazar Ramadan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Selain itu, dia turut menerangkan cara penyediaan lemang periuk kera ini sebenarnya sama seperti lemang biasa iaitu hanya menggunakan beras pulut dan santan. Ia juga tidak perlu dipanggang seperti lemang buluh, tetapi hanya perlu dikukus sahaja.
Malah, jika hendak dibandingkan harga juga sememangnya lemang periuk kera lebih murah kerana dijual RM1 satu. Selain itu, dia memberitahu mampu menjual lemang periuk kera sehingga 800 ketul setiap hari.
“Ia sedap dimakan dengan ayam atau rendang daging, dan kos kombonya berharga RM4 untuk satu paket. Sesetengah pelanggan suka makan lemang dengan serunding dan saya jual dengan harga RM10 untuk satu paket,” tambahnya lagi.
Selain lemang periuk kera, Ahmad turut menjual kuih seperti onde-onde dan ketupat pulut di pasar malam dan juga pasar tani.
Nampaknya peniaga semakin kreatif dalam menghasilkan makanan tradisional seperti ini. Idea sebegini mampu menarik minat pelanggan yang ingin mengetahui apakah rasa lemang periuk kera ini.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Resepi ringkas fucuk goreng ni dah ramai yang share
- SUMBER
- MSTAR