Makcik Jual Rebung Buat Mufti Perlis Tersentuh
Ketika kita sedang sibuk memikirkan mahu beli apa untuk juadah berbuka nanti, masih ada insan terpaksa bekerja keras siang dan malam demi menyara kehidupan bersama anak-anak yang kurang upaya (OKU).
BACA: Ayam Percik Abang Sado Laris Di Bazar Ramadan
Itulah yang terjadi kepada seorang makcik di Perlis apabila terpaksa menjual rebung di kaki lima untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi kisah dia bertemu dengan makcik tersebut di laman sosial Facebook kerana dia tersentuh akan kesungguhan makcik itu mencari rezeki siang dan malam.
“Ketika jam hampir 12 malam, mak cik ini masih di kaki lima menjual rebung dan beberapa jenis makanan segera,” katanya.
Dia yang pada awalnya bertemu dengan anak makcik tersebut berniaga di hadapan bangunan KFC Kangar sebelum anak itu memberitahu ibunya turut berniaga di tepi kaki lima sepertinya.
“Dia anak istimewa. Dia memberitahu ibunya juga berniaga di sana. Saya mencari ibunya. Saya dapati wanita yang sudah berusia berniaga di kaki lima,” ujar Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza.
Walaupun makcik itu menerima zakat dan bantuan Badan Kebajikan, namun ia masih tidak mencukupi berikutan dia mempunyai tiga orang anak OKU di rumah yang perlu ditanggung.
Dr. Maza kemudian mengambil keputusan untuk membeli kesemua rebung yang dijual oleh makcik itu sebagai tanda sokongan.
“Hampir 40 bungkus rebung beliau. Saya bukan penggemar rebung. Namun saya pasti pagi esok saya akan cari masjid yang sudi terima semua rebung ini untuk dibuat menu berbuka puasa,” tambahnya lagi.
Apa yang menyentuh hati mufti Perlis itu ialah makcik itu berusaha mencari sendiri rebung kemudian menjualnya di tepi kaki lima dan tidak meminta-minta.
“Saya sedih mendengar kesungguhan beliau berusaha agar tidak meminta-minta. Itulah kemuliaan dan itulah ibadah yang hebat. Orang sepertinya yang kuat berusaha tidak duduk saja layak ditambah peruntukan bantuan. Insya-ALLAH MAIPs akan menambahkan bantuan untuknya,” ujarnya lagi.
Walau sesusah mana situasi yang kita sedang hadapi, ingatlah pasti ada orang yang lagi susah daripada kita namun tidak pernah berputus asa walau apa pun yang terjadi.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
“Serai Ni Letak Bila?”
- SUMBER
- SINAR HARIAN