Nasi Kerabu Ayam Madu Anak Malaysia Laris Di Scotland
Seorang anak Malaysia tidak menyangka nasi kerabu ayam madu yang dimasaknya laris di Scotland. Mohd Tarmizee Mohd Alwi, 39 yang berasal dari Bachok, Kelantan berkata dia bagaimanapun mengambil tempahan melalui Facebook terlebih dahulu sebelum menyediakan nasi kerabu.
Sudah tiga tahun menetap di Edinburgh, Tarmizee memberitahu dia menjual nasi kerabu secara sambilan untuk mengisi masa lapang dalam masa sama mencari duit tambahan.
BACA: Ini Murtabak Gemuk & Besar Kami Pernah Tengok
“Saya dan anak, Aleesya Damia Zahra, 3, sudah tiga tahun menetap di Edinburgh kerana menemani isteri Akmal Adilah Idris, 37, yang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah dalam jurusan Molecular Plant Science di University of Edinburgh.
“Saya jual nasi kerabu secara sambilan untuk mencari duit tambahan serta mengisi masa lapang selain memenuhi permintaan rakan-rakan,” katanya kepada Kosmo!
Menurutnya lagi, nasi kerabu ayam madu yang dibuatnya menggunakan resipi asli dari Kelantan. Kata Tarmizee lagi, tidak sukar mendapat bahan-bahan masakan termasuk ulam kerana semuanya boleh diperoleh di Scotland, manakala budu serta keropok dihantar oleh ibunya dari kampung.
Sebungkus nasi kerabu ayam madu dijual dengan harga £4 (RM21.50), dia menerima tempahan antara 35 hingga 125 bungkus setiap kali tempahan dibuka.
“Alhamdulillah, pelanggan-pelanggan saya terutama pelajar-pelajar dari Malaysia berpuas hati dengan menu yang saya buat,” katanya.
Selain menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah, pelanggan juga boleh mengambil nasi kerabu di tempat dan masa yang telah ditetapkan.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Datang Hameediyah Kota Damansara Memang Kena Beratur? 😱
- SUMBER
- kosmo