Popia Sebenarnya Berasal Dari Negara Mana?
Menu berbuka nanti mesti ada di antara anda yang akan memilih popia, pergi lah bazar ramadhan mana sekali pun mesti akan ada orang yang menjual popia.
Tapi tahukah anda satu masa dulu ada sekumpulan aktivis dari Indonesia telah mengadakan demonstrasi bagi menuntut kerajaan Malaysia supaya tidak menjadikan kuih popia sebagai makanan warisan negara kita.
Tuntutan itu dibuat oleh aktivis yang dikenali sebagai Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi) selepas mendakwa popia atau dikenali sebagai lunpia merupakan makanan khusus dari Semarang, Jawa Tengah. Penyelarasnya, Rahmulyo Adiwibowo berkata, Formasbudi mengambil langkah tersebut supaya popia Semarang tidak didakwa sebagai milik negara Malaysia.
Tapi benarkah popia adalah milik Indonesia? Rasanya tak perlu kita berbalah, pendekatan yang lebih baik adalah dengan meneliti sejarah disebalik penciptaan popia.
Nama Popia Pun Bukan Dari Bahasa Melayu
Sebenarnya nama popia itu sendiri sudah menunjukkan popia bukan berasal daripada bahasa Melayu. Perkataan popia berasal dari bahasa Cina Fujian. Dalam dialek Teochew mereka memanggil bobea atau dikenali sebagai pizza tempatan yang menggunakan kulit tepung (pastri) yang nipis.
Popia di Indonesia dikatakan disebut sebagai lumpia yang terkenal di Semarang (Jawa Tengah). Samaada popia atau lumpia kedua-duanya berasal dari bahasa Cina. Lumpia atau Cinanya pinyin berasal dari dialek Hokkien. Popia hanya di Melayukan dalam bahasa Melayu secara rasmi pada 1986.
Sengkuang Cina Sebagai Bahan Tradisi Dalam Inti Popia
Walaupun bahan-bahan dalam pembuatan popia menggunakan kulit tepung yang nipis dengan pelbagai jenis inti, perbezaan popia dan lumpia adalah sangat ketara. Secara teknikalnya popia menggunakan sengkuang, lobak, taugeh, timun dan lain-lain mengikut cita rasa.
Tapi sengkuang ini juga dikenali sebagai sengkuang cina yang menunjukkan ia adalah bahan tradisi dalam masakan Cina. Manakala lumpia pula menggunakan daun lik sebagai bahan utama selain bahan-bahan lain.
Dalam resepi masakan orang Cina, popia gulung diisi dengan hirisan kubis dan sayur-sayuran lain di dalam satu gulungan pastri yang nipis. Di kawasan seperti Zhejiang timur China dan utara China popia biasanya dimakan semasa Festival Spring (musim bunga) di China, dengan itu namanya dikenali sebagai ‘spring roll’ dalam bahasa Inggeris.
Luis Suarez Pernah Makan Popia?
Kalau di Eropah, Amerika Utara dan Selatan, spring roll boleh di temui dengan pelbagai nama dan inti yang berlainan. Kebanyakannya terdapat di restoran Cina. Misalnya di Uruguay dan Argentina, popia dinamakan sebagai Arrollados Primavera yang dibawa oleh orang Cina dan banyak di restoran Cina.
Popia Malaysia dalam selera kita pula ada dua jenis iaitu popia goreng dan popia basah. Popia basah dihasilkan dengan menggunakan tepung pada bahagian kulit popia, manakala intinya pula dibuat dari campuran ubi sengkuang, telur, bawang goreng dan udang kertas, ditambah dengan kuah istimewa yang agak pedas untuk menaikkan selera.
Oh ya pemain bola sepak terkenal Luis Suarez pernah rasa popia. Selain mencuba sate, roti canai dan nasi lemak Luis Suarez juga tak lepaskan peluang makan popia Malaysia. Pedas katanya.
Ingat lagi peristiwa bersejarah rendang ayam crispy baru-baru ini? Di sebabkan bantahan oleh makcik-makcik bawang dari Malaysia, Indonesia dan juga Singapura kita boleh bersatu mempertahankan maruah rendang Nusantara. Sampai dapat banyak perhatian dari semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri ketika itu.
Jadi mari kita bersatu juga pada popia. Seharusnya kita capai kata sepakat bahawa popia adalah sajian global yang dinikmati oleh semua penduduk bumi.
Artikal Berkaitan:
Rendang Rangup Wujud, Chef Jo Kongsi Resepi!
Giliran IKEA Perkenal Menu Rendang Ayam ‘Crispy’
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Popia Ketam Padu Paling Senang Nak Buat | Random Rabu
Sumber: Wikipedia, Kosmo,