Rakyat Malaysia Di Wuhan Akan Dibawa Pulang Esok
Kerajaan akan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China dengan penerbangan khas dijangka esok hari iaitu Isnin, berikutan penularan wabak koronavirus 2019 di negara itu.
Difahamkan seramai 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 132 orang akan dibawa pulang.
BACA: Bergelut Dengan Coronavirus, China Dilanda Wabak Selsema Burung H5N1 Pula
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan China.
Menurut Dr Wan Azizah, pesawat AirAsia dengan 12 krew akan digunakan bagi misi membawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka itu.
Pesawat tersebut juga akan membawa bantuan keperluan seperti penutup mulut, sarung tangan dan makanan yang tertakluk kepada senarai dipersetujui kerajaan China.
Katanya lagi, kumpulan itu kemudian akan dikuarantinkan selama 14 hari sejurus tiba ke tanah air.
Sementara itu, Dr Wan Azizah telah pun bertemu dengan semua pegawai dan krew penerbangan yang menyertai misi itu untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas pengorbanan mereka membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Inikah Kedai Tanpa Manusia Pertama Di Malaysia?