Rumah Dekat Surau, Lelaki India Boleh Azan & Hafal Surah
Hidup di dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama memberi banyak kelebihan kepada kita. Dapat mengenali budaya baru, budaya baru dan cara kehidupan juga dapat dipelajari jika kita menetap di kawasan perumahan yang mempunyai masyarakat majmuk.
Seorang lelaki berbangsa India tahu bagaimana cara untuk melaungkan azan, membaca doa serta surah Al-Fatihah.
BACA: Tunggu Azan Untuk Makan, Lelaki Cina Jadi Perhatian
Malah, R Nanthakumar, 25 tahun, sering dianggap sebagai orang Melayu kerana suaranya. Dia menyatakan bahawa dia meminati untuk belajar budaya dan amalan agama lain kerana dia seorang yang berfikiran luas.
Segalanya bermula sejak keluarganya berpindah ke Kampung Air Meleleh, Port Dickson, Negeri Sembilan kerana keluarganya merupakan satu-satunya keluarga berbangsa India menetap di situ.
Dia yang juga dikenali sebagai Nan turut memberitahu keluarganya tidak pernah berasa terpinggir walaupun majoriti penduduk di sana adalah masyarakat Melayu.
“Oleh sebab rumah saya dekat dengan surau, saya selalu dengar azan, lihat macam mana orang ambil air wuduk dan solat,” ujarnya sambil berkata kedudukan rumahnya berhadapan surau di kampungnya itu.
“Saya tak malu mengaku, saya pun tahu macam mana nak baca surah Al-Fatihah. Kalau nak suruh saya azan pun boleh dan doa-doa ringkas pun saya sudah hafal,” sambungnya.
“Saya masih ingat ketika di sekolah rendah dahulu, waktu kelas pendidikan moral, ada seorang cikgu ni selalu ajar saya banyak perkara tentang budaya Melayu dan agama Islam. Itu membuatkan saya seronok dan lagi nak belajar,” jelasnya lagi.
Selain itu, Nan turut berpendapat dengan mempelajari budaya dan amalan agama lain menjadikannya lebih menghormati agama lain.
Semasa bersekolah, dia juga menjadi ketua kumpulan kompang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Samad, Port Dickson dan pernah menjuarai formasi untuk persembahan solo pada tahun 2009.
Tambahan pula, keluarganya tidak menghalang dirinya malah menyokong dirinya dalam setiap perkara yang dilakukannya serta dia bebas berkawan dengan sesiapa sahaja.
“Ada sekali tu mak saya marah bila dapat tahu saya puasa tapi bila saya kata nak cuba dia kemudiannya ok sahaja. Diam tak diam, dah 10 tahun saya ikut puasa. Puasa baru-baru ini, saya hanya ponteng empat hari sahaja,” ujarnya.
Walaupun begitu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengkhususan Sumber Manusia) Universiti Antarabangsa Unitar ini masih tidak melupakan adat dan dia juga mahir bermain gendang tradisional masyarakat India iaitu uremi melam.
Sikapnya yang terbuka itu membuatkan Nan disenangi oleh rakan-rakannya terutama dari bangsa lain seperti Melayu dan Cina. Diharap kita masih mempunyai sikap seperti Nan yang sentiasa berfikiran positif dan terbuka terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Spaghetti Kambing?
- SUMBER
- SINAR HARIAN