Sanggup Tunggu Dua Jam Nak Beli Durian RM5 Sekilo
Pergi ke mana saja pasti anda akan dapat lihat gerai menjual buah durian ditepi jalan. Bukan itu saja, di media sosial juga turut dibanjiri dengan gambar buah durian. Maklumlah, sekarang ni musim buah, memang terliur tengok kalau gambar isi buah durian.
Demi untuk menikmati durian murah, orang ramai sanggup beratur hampir dua jam di sebuah gerai buah-buahan FAMA di Kepala Batas, Kedah.
BACA: Aksi Ghairah Dengan Durian, Peminat Raja Buah Marah
Menurut peniaga gerai tersebut, Mohd Azizi Azizan, 28, dia terpaksa menambah bekalan sehingga lima tan sehari kerana permintaan yang terlalu tinggi. Dia juga tidak sangka ramai yang sanggup datang dari jauh untuk membeli durian darinya.
“Ada pelanggan sanggup menunggu hampir dua jam di perkarangan gerai sehingga lori sampai bagi memilih sendiri buah yang mahu dibeli,”
“Saya memang tidak sangka ramai pelanggan sanggup datang jauh, ada yang datang dari luar Kedah semata-mata mahu menikmati durian dengan harga berpatutan dan isi yang baik,” katanya kepada Harian Metro.
Lebih mengejutkan, lima tan durian yang dijual olehnya pernah habis dalam tempoh hanya setengah jam. Mohd Azizi berkata, sebelum ini dia terpaksa menanggung kerugian sepanjang Ramadan lalu, akibat jualan buah-buahan kurang mendapat sambutan, namun hasil jualannya kini kembali meningkat.
Menjual dengan harga yang murah bermula RM5 hingga RM8, Mohd Azizi memberitahu dia mendapat bekalan durian dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan Batu Kurau, Perak.
Selain boleh membeli durian dengan harga yang murah, pelanggan juga boleh menikmati hidangan pulut durian dan cendol durian yang mendapat permintaan ramai. Kata Mohd Azizi lagi, kira-kira 15 kilogram pulut habis setiap hari.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pergh, Char Kuey Teow Dia Penuh Satu Kuali!
- SUMBER
- The Malay Mail Online