“Saya Nak Tengok Muka Orang Yang Bunuh Anak Saya”
Hati ibu mana yang tidak terluka apabila anak kesayangannya diperlakukan sebegitu rupa dan menjadi mangsa keganasan orang lain. Asma Aziz, 51, ibu kepada anggota bomba, Muhammad Adib yang maut akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, bulan lalu, berkata dia berharap pelaku yang menyebabkan kematian anaknya itu diheret ke muka pengadilan.
Asma berkata, dia sendiri mahu melihat wajah pelaku tersebut yang tergamak meragut nyawa anaknya yang sedang bertugas untuk negara. Menurut Asma lagi, apa yang dilakukan oleh pelaku tersebut tidak boleh dimaafkan.
BACA: Netizen Mahu Keadilan Buat Adib, Desak Waytha Moorthy Letak Jawatan
“Saya nak tengok muka orang yang sanggup buat macam itu…sampai bunuh anak saya. Saya nak depa (mereka) dibawa ke muka pengadilan, apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan,” katanya kepada BH Online.
Pada masa sama, Asma turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mahukan keadilan di atas kematian anaknya itu. Katanya lagi, sehingga kini dia masih tidak boleh melihat berita mengenai Adib kerana tidak dapat menahan kesedihan.
Menyifatkan Muhammad Adib seorang anak yang baik, Asma berkata, anak kedua daripada empat beradik itu amat rapat dengan keluarga dan sentiasa akan pulang ke kampung. Malah, arwah juga seorang yang rajin membantu keluarga.
“Kalau cuti dua hari pun arwah akan pulang ke rumah menaiki kereta api atau bas sebab arwah memang rapat dengan keluarga. Kalau musim menanam padi tiba, arwah akan menghubungi bapanya untuk mengambil cuti dan membantu di sawah,” katanya.
Dalam pada itu, mereka sekeluarga masih belum membuat keputusan sama ada mahu menukar majlis perkahwinan arwah Adib ang sepatutnya berlangsung 22 Disember ini sebagai kenduri tahlil berikutan terlalu sedih dengan insiden menimpa mereka.
- SUMBER
- BH Online