Suri Rumah, Balu & Ibu Tunggal Boleh Daftar KWSP Bermula Hari Ini
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pendaftaran Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) boleh dibuat mulai hari ini 15 Ogos.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd. Naim Daruwish berkata, mereka yang layak perlu mendaftar sebagai ahli KWSP sebelum memohon menyertai caruman tersebut.
BACA: KWSP Suri Rumah: 2% Gaji Suami, RM50 Kerajaan
“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan dengan sistem e-Kasih boleh menyertai i-Suri dengan membuat caruman minimum RM5 setiap bulan.
“Caruman itu perlu dibuat ke dalam akaun simpanan persaraan bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.
Mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai i-Suri dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KSWP di seluruh negara.
Pembukaan pendaftaran i-Suri itu susulan pelancaran Insentif Suri Rumah oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018, minggu lalu.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi menjayakan fasa pertama skim i-Suri. i-Suri akan dilaksanakan dalam tiga fasa.
Statistik eKasih menunjukkan 221,890 suri rumah, 98,536 balu dan 28,116 ibu tunggal daripada segmen masyarakat miskin tegar layak menerima insentif kerajaan itu setelah mendaftar untuk i-Suri.
Untuk maklumat lanjut mengenai eKasih, anda boleh menghubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di talian 03-8000 8000.
Manakala bagi penjelasan mengenai produk dan perkhidmatan KSWP boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000 atau ke laman sesawang www.kwsp.gov.my atau kunjungi mana-mana cawangan KWSP.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Penangan CEndol Durian Di Gombak & Makan Percuma? 😱😱😱
- SUMBER
- Says.com