Tak Nak Pergi Kelas Tambahan, Murid Darjah 5 Reka Cerita Diculik
Siapa sangka hanya kerana tidak mahu pergi ke kelas tambahan, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun sanggup mereka cerita dirinya cuba diculik sekumpulan lapan lelaki di hadapan Sekolah Rendah Agama Bukit Kapar Barat, Klang.
Memetik laporan BH Online, menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, pihaknya menerima satu laporan polis pada 7 September oleh ibu pelajar berkenaan yang mengatakan cubaan culik itu dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang menaiki dua van berwarna putih.
BACA: Nak Perhatian, Culik Diri Sendiri
Bagaimanapun, murid itu kemudian membuat pengakuan kepada polis hari ini bahawa dakwaan itu tidak benar.
“Mangsa memberikan pengakuan dan didapati kejadian cubaan menculik adalah tidak benar dan sengaja direka untuk menarik perhatian keluarganya.
“Selain itu, mangsa tidak berminat untuk menghadiri kelas tambahan mata pelajaran Bahasa Arab yang diadakan di sekolah itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini media melaporkan seorang murid berusia 11 tahun mendakwa dia hampir menjadi mangsa penculikan di hadapan Sekolah Agama Bukit Kapar Barat, pada 10.30 pagi Sabtu lalu.
Katanya ketika kejadian, murid baru saja menghadiri kelas tambahan dan terdapat seorang lelaki membantu murid berkenaan daripada diculik ketika itu.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram