Tandas Jadi Pilihan Buang Bayi Demi Tutup Malu
Saban hari kita sering mendengar berita tentang kes pembuangan bayi yang dilihat semakin membimbangkan. Terbaru, seorang remaja yang baru berusia 18 tahun ditemui meninggal dunia di dalam tandas rumahnya di Taman Kerian Permai, Parit Buntar selepas melahirkan bayi lelaki petang semalam.
Sebelum kejadian mangsa ada mengadu mengalami sakit perut dan sembelit pada keluarganya. Kes sebegini bukanlah yang pertama berlaku, malah sering terjadi sejak kebelakangan ini.
Bayi yang suci dan tidak lagi mengerti apa-apa sering menjadi mangsa, dibuang di dalam tandas, ditanam dan dihanyutkan ke sungai adalah satu bentuk kekejaman yang sering menjadi igauan bagi setiap sosiobudaya yang bertamandun.
Tandas sebagai permulaan dan pengakhiran bayi yang tidak berdosa
Menurut fakta kes, remaja terbabit meninggal dunia selepas melahirkan bayi di dalam tandas, mangsa menanggung seksa selama 5 jam, namun selepas ahli keluarga menghubungi penyelamat segalanya sudah terlambat.
Mangsa dan juga bayinya ditemui sudah tidak bernyawa. Menurut laporan, remaja berkenaan yang masih belum berkahwin dipercayai mengandung di luar pengetahuan ahli keluarganya yang tinggal bersama di rumah berkenaan.
Tandas menjadi pilihan utama individu tidak bertanggungjawab membuang janin atau bayi mereka sejurus dilahirkan bagi mengelak malu dan menyimpan rahsia daripada keluarga dan masyarakat.
Memetik laporan akhbar Berita Harian, statistik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 354 kes buang bayi di seluruh negara dalam tempoh 2014 hingga Jun lalu, turut menyenaraikan tempat pembuangan sampah dan loji kumbahan antara tiga teratas lokasi tumpuan pembuangan bayi.
Hakikat yang pahit untuk ditelan, tandas bukanlah permulaan dan pengakhiran yang baik bagi bayi yang tidak berdosa.
Statistik semakin membimbangkan
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan, berkata rekod pihaknya mendapati 13 peratus daripada keseluruhan kes disiasat mendapati bayi dibuang di tandas, diikuti 9,08 peratus di kawasan sampah dan loji kumbahan sebanyak 8.05 peratus.
Apa yang menyedihkan, katanya hanya 33.71 peratus daripada 534 bayi yang ditemui dalam tempoh itu selamat, selebihnya meninggal dunia
Beliau berkata, wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun paling ramai terbabit kes buang bayi apabila mewakili 22.91 peratus daripada keseluruhan 534 kes direkodkan, dengan pendedahan meluas golongan itu kepada aplikasi sosial tanpa sekatan dikenal pasti antara pendorong utama.
Katanya, kebanyakan yang terbabit adalah wanita muda lepasan sekolah yang tidak lagi di bawah pengawasan ibu bapa.
“Bagi pecahan kes mengikut negeri, Selangor mencatat kes buang bayi tertinggi dengan 23.97 peratus daripada keseluruhan 534 kes, diikuti Johor dan Kuala Lumpur, masing-masing 11.24 peratus dan 10.86 peratus.
“Tiga negeri berkenaan dalam senarai teratas, dipercayai didorong populasi penduduk tinggi serta status pusat bandar yang menjadi tumpuan orang ramai bekerja,” katanya.
Anak bangsa kita tewas dengan godaan nafsu
Tidak dinafikan, aspek sosial kini tiada lagi batasan, pergaulan bebas hanya semudah di hujung jari. Sasaran utama adalah golongan muda.
Golongan usia antara 18 hingga 25 tahun mempunyai keinginan tinggi dalam penggunaan internet, lebih teruk pengenalan singkat dan mudah melalui aplikasi sosial menyumbang kepada kesalahan seksual, sekali gus menjurus kepada pembuangan bayi.
Menurut Siti Kamsiah lagi, kurang pengawasan ibu bapa dan kemudahan internet tanpa sempadan memudahkan mereka melayari kandungan negatif dan bahan yang secara tidak langsung mendorong kepada kesalahan seks, lebih-lebih lagi jika akses pergaulan bebas lebih terbuka.
“Ia kemudian mendorong kepada aktiviti seksual seperti seks bebas dan rogol yang akhirnya mengundang kepada kes buang bayi. Masalah timbul apabila mengandung, mula panik kerana tidak mahu keluarga tahu.
“Dalam keadaan tidak mampu berfikir secara waras, jalan mudah adalah dengan membuang janin atau bayi sejurus dilahirkan. Kes buang bayi dari dulu sudah berlaku, tetapi tidak sekerap selepas dipengaruhi teknologi tanpa batasan dengan jumlah kes saban tahun juga meningkat,” katanya.
Siti Kamsiah mengakui menjadi cabaran kepada polis untuk mengekang jenayah akibat penggunaan teknologi tanpa sempadan, termasuk dalam kes buang bayi.
Remaja hamil luar nikah terganggu emosi, mental
Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor, berkata remaja hamil luar nikah yang turut terbabit kes buang bayi, terpaksa melalui beberapa fasa kritikal khususnya dari segi emosi menyebabkan mereka cenderung mengalami masalah kesihatan mental.
Katanya, selain kesan biasa seperti muram dan pasif akibat belenggu tekanan dihadapi, remaja berkenaan turut berisiko mengalami masalah kesihatan mental yang lebih serius sehingga mendorong mereka melakukan perkara yang tidak seharusnya berlaku.
“Hamil luar nikah bagi remaja sudah cukup tertekan, menyebabkan fikiran mereka tidak tenang dan emosi tidak stabil. Ini berlaku kerana mereka takut untuk berdepan dunia luar yang sememangnya tidak menerima keadaan mengandung luar nikah.
Perlu di ambil perhatian dari semua pihak
Membuang dan membunuh bayi adalah perkara yang dilarang dalam Islam, namun masih belum terdapat hukuman berat yang dijatuhkan bagi kesalahan pembuangan bayi di bawah Enakmen Jenayah Syariah di negara ini.
Kurang didikan agama juga dikenal pasti antara menyumbang kepada anak muda hilang arah haluan dalam kehidupan sehingga terjerumus dalam gejala negatif seperti pergaulan bebas, ketagihan dadah dan seks rambang.
Adalah di alu-alukan kesediaan kerajaan mengikut langkah Jepun dan Korea Selatan melarang akses internet untuk remaja bawah 17 tahun bermula jam 12 malam sehingga 6 pagi, antara langkah berkesan menangani kecenderungan anak muda kepada kandungan video tidak bermoral dan aplikasi media sosial lain yang tidak mengikut lunas agama serta nilai moral
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Restoran Western Yang Tak Kedekut Bahan 😉
Sumber: BeritaHarian