Teka Jumlah Bekas Kuih Raya Tarik 20, 000 Penyertaan
Benda yang paling ditunggu-tunggu ketika tibanya hari raya mestilah duit raya. Bukan sahaja kanak-kanak yang teruja untuk dapat duit raya, orang dewasa turut tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan duit raya melalui laman sosial.
BACA: 5 Tips Makan Kuih Raya Oleh Kevin Zahri
Seorang wanita berusia 36 tahun, Noriana Ahamad Sapari menganjurkan pertandingan meneka jumlah balang kuih raya dalam gambar yang dikongsi di akaun laman sosial Facebook miliknya sempena menyambut hari raya Aidilfitri.
“Saya buat sekadar suka-suka untuk memeriahkan suasana raya. Maklum sajalah setiap kali raya, semua akan sibuk dengan hal masing-masing. Jadi, kenapa tidak saya melakukan sesuatu untuk merapatkan hubungan sesama umat Islam di laman sosial,” ujarnya.
Cara untuk menjawab soalan pertandingan juga cukup mudah kerana Noriana hanya meminta mereka untuk like status kemudian komen jawapan dan share status di akaun Facebook masing-masing.
Seterusnya, pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan tepat serta memenuhi semua syarat yang dipintanya. Antara hadiah yang disediakan Noriana untuk pemenang ialah hadiah dari luar negara dan juga duit raya.
“Ia adalah kali pertama saya menganjurkan pertandingan seumpama ini. Tak sangka sambutannya amat menggalakkan, saya terima hampir 20,000 penyertaan,” katanya kepada mStar.
Berikutan pertandingan itu, Noriana mendapat 10,000 like, 13,976 share dan 19,353 ribu komen di status gambar tersebut. Dia menjelaskan gambar tersebut bukanlah miliknya cuma dia menggunakan gambar tersebut sebagai idea untuk menganjurkan pertandingan ini.
Walaupun penyertaan sudah lama ditutup, Noriana atau lebih dikenali sebagai Noreen memberitahu bahawa masih ada orang yang meneka jumlah balang kuih raya sehingga kini.
Pertandingan itu berlangsung sehari sahaja iaitu pada 28 Jun lepas dari pukul 1.51 tengahari hingga pukul 11.59 malam. Disebabkan terlalu ramai yang dapat meneka jumlah balang kuih raya dengan tepat, Noreen memutuskan untuk memilih pemenang melalui usaha mereka yang menghantar mesej kepadanya.
“Sebenarnya, ramai yang lain turut menghantar mesej kepada saya tetapi jawapan mereka salah,” tambahnya sambil memberitahu pemenang yang dipilihnya ialah Hazita Zita Hazita Zita dan Herryz Hairiz Erry.
Di samping dapat menang duit raya, pertandingan sebegini juga dapat melatih kita supaya lebih fokus terhadap sesuatu situasi selain dapat mengeratkan silaturahim sesama kita.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Senangnya Buat Biskut Horlicks Padu Beb!
- SUMBER
- MSTAR