Tiada Masa Pergi Ke Tandas, Doktor Di Wuhan Terpaksa Pakai Lampin
Wabak misteri Coronavirus yang menyerang wilayah Wuhan di China bukan sahaja mencetuskan kebimbangan di negara tersebut malah di seluruh dunia. Setakat ini di Malaysia empat orang warga China disahkan positif wabak tersebut.
Difahamkan, hari ini angka kematian akibat coronavirus meningkat kepada 106 orang dengan jumlah jangkitan meningkat kepada lebih 4,500 orang.
BACA: WHO Akui Silap Semasa Penilaian, Risiko Jangkitan Coronavirus Sebenarnya Di Tahap Bahaya
Berikutan lambakan pesakit di hospital, para doktor yang bertungkus lumus berjuang memerangi wabak koronavirus di Hospital Union, Wuhan terpaksa memakai lampin pakai buang dewasa gara-gara terlalu sibuk merawat pesakit virus tersebut.
Seorang doktor yang dikenali sebagai Do berkata, ramai doktor memilih untuk memakai lampin kerana mereka tidak mempunyai masa untuk menggunakan tandas disebabkan pesakit wabak itu yang terlalu ramai.
Selain itu, mereka menggunakan lampin bagi mengelakkan diri daripada membuka pakaian perlindungan yang dikhuatiri akan tercemar dengan wabak misteri itu.
Katanya lagi, sut perlindungan berkenaan sangat berharga sehingga ada doktor yang menyifatkan siapa yang dapat sut perlindungan diri yang baharu seperti menang loteri.
Difahamkan, hospital tersebut bukan sahaja mengalami kekurangan seperti kelengkapan katil, malah kelengkapan perlindungan daripada jangkitan seperti sarung tangan serta topeng hidung dan muka juga mulai habis.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram