Pasti anda pernah mendengar tentang hidangan eksotik yang terdapat di Malaysia. Walaupun negara kita kaya dengan kepelbagaian makanan namun makanan eksotik juga menjadi hidangan pilihan dan semakin popular.

Namun di sebalik makanan yang dianggap ‘rare’ dan menjadi lambang kebanggan bila telah mencuba sesuatu hidangan eksotik, namun tahukah anda sesetengah hidangan eksotik itu terdiri dari haiwan yang diancam kepupusan.

Takrif perkataan eksotik itu sendiri membawa maksud ”asing, atau luar biasa keistimewaannya” sudah cukup memberi pemahaman pada kita bahawa haiwan dalam kategori eksotik sangat istimewa dan luar biasa.

Sebagai contoh Tenggiling merupakan sejenis haiwan mamalia eksotik yang kini telah diancam kepupusan akibat pemburuan yang semakin berleluasa. Tenggiling merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar.

Dilaporkan lebih sejuta ekor tenggiling diperdagangkan secara haram seluruh dunia di antara tahun 2000 dan 2014, menjadikan haiwan itu antara mamalia yang paling tinggi diperdagangkan.

Menurut Dana Sedunia Alam Semula jadi (WWF), populasi tenggiling Asia telah merosot sehingga 80 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Malah bukan Tenggiling sahaja jadi hidangan eksotik, malah banyak lagi haiwan eksotik telah dijadikan hidangan ‘rare’ ini.

Di sini kami senaraikan beberapa jenis haiwan eksotik lain yang dijadikan hidangan kepada para penggemarnya.

1. Ular Sawa

Ular sawa adalah spesis ular yang kini semakin diancam kepupusan. Ular sawa tergolong dalam haiwan yang dilindung di bawah Akta Peluliharaan Hidupan Liar 2010.

Namun haiwan ini semakin diminati bagi penggemar hidangan eksotik. Walaupun ular sawa merupakan hidangan yang tidak asing bagi masyarakat di Sabah dan Sarawak namun adalah menjadi satu kesalahan memburu haiwan berkenaan.

Hidangan ular sawa turut menjadi pilihan bagi penggemar makanan eksotik di Semenanjung. Dikatakan mereka menggemari sajian ular sawa kerana dagingnya didakwa lebih manis selain menguatkan tenaga batin.

Ular sawa akan disiat kulitnya terlebih dahulu sebelum dimasak. Masak kicap atau sup adalah yang paling popular.

2. Tenggiling

Tenggiling sebenarnya turut dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 menyediakan hukuman lebih tinggi bagi ­kesalahan melibatkan haiwan tersebut, iaitu denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Walaupun Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Ke Atas Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) ­telah meluluskan pengharaman penuh perdagangan tenggiling, masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menangkap dan menyeludup haiwan bersisik keras tersebut.

Punca utamanya adalah permintaan yang tinggi di China dan Vietnam, yang mana daging tenggiling dianggap sebagai makanan eksotik manakala sisik haiwan tersebut digunakan dalam ubat-ubatan tradisional.

3. Biawak

Daging biawak turut menjadi hidangan eksotik popular di Malaysia. Kita sering mendengar ada restoran yang menyediakan daging biawak sebagai menu masakan. Namun biawak juga tergolong dalam spesis haiwan yang terlindung.

Daging biawak dikatakan mempunyai khasiat yang tersendiri. Jika di Indonesia hidangan daging biawak sangat popular dan lazimnya dijadikan sate.

Daging biawak tidak halal dimakan oleh umat Islam, namun kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ada yang menjadikan hidangan biawak sebagai menu yang unik.

4. Landak

Mungkin ada di antara anda yang pernah merasai daging Landak. Hidangan ini semakin popular di Malaysia hinggakan ada yang menternak Landak untuk dikomersialkan dagingnya.

Namun Landak juga tergolong dalam haiwan eksotik yang diancam kepupusan. Landak turut diletak sebagai haiwan terlindung. Bagi penggemar daging landak, rasa daging ini sangat unik. Hidangan ini semakin popuar ketika hari raya untuk dijadikan rendang.

5. Katak

Katak merupakan haiwan amfibia yang berkulit menggerutu sentiasa membangkitkan kegelian kepada manusia. Namun, ia memiliki keistimewaan tersendiri kepada para penggemarnya.

Kepada masyarakat Cina di Malaysia, rupa fizikal katak tidak sedikit pun mengurangkan selera mereka untuk menjadikan haiwan itu sebagai menu penting dalam hidangan.

Bukan itu sahaja, permintaan terhadap katak untuk dijadikan hidangan juga begitu tinggi sehingga ia menjadi menu pilihan di restoran-restoran Cina di Malaysia.

Lebih menarik, isi dan daging haiwan ini dipercayai mempunyai khasiat yang tersendiri. Kebanyakan kaum Cina menggemari katak kerana ia merupakan makanan turun temurun.

Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010

Kebelakangan ini, penggunaan media sosial dan portal perdagangan hidupan liar secara haram telah menjadi ancaman yang lebih besar kepada spesies haiwan yang hampir pupus. Kemudahan teknologi yang ada pada masa ini juga memudahkan perdagangan haram haiwan yang dilindungi.

Amat mengejutkan apabila masih terdapat restoran yang menyediakan makanan eksotik seperti daging tenggiling walaupun negara kini mempunyai undang-undang yang menyeluruh dan hukuman yang tegas.

Adalah dinasihatkan kepada pengusaha restoran makanan eksotik supaya mendapatkan lesen memiliki haiwan dijual bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Pengusaha restoran eksotik perlu merujuk pada PERHILITAN sebelum menjual sebarang jenis binatang, memandangkan ada beberapa kategori haiwan di bawah kawalan jabatan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Pening Kepala Pekena Butter Beer?

Sumber: Iluminasi, wildlife.gov