Hari raya esok pasti disambut dengan meriah bersama keluarga. Tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara sudah menjadi perkara wajib di hari raya nanti. Bila berkunjung ke rumah sanak saudara pasti akan dihidang dengan kuih raya.

Namun sejak kebelakangan ini kuih raya tradisional makin terpinggir dan tak dihidangkan lagi pada hari raya sebab biskut raya moden lebih mendapat tempat dikalangan generasi sekarang. Oleh itu kami senaraikan 5 jenis kuih tradisional yang mungkin tidak dihidangkan lagi di atas meja pada raya tahun ini.

1. Putu Kacang Dan Putu Beras

Kuih putu kacang hijau dan putu beras ini sangat popular pada zaman mak ayah dan datuk nenek kita. Ada sesetengah tempat digelar kuih koya, dan sangat popular di semenanjung tanah air. Umum mengetahui cara membuat kuih putu ini sangat rumit dan ia menjadi salah satu faktor kuih ini semakin kurang mendapat sambutan.

Walaupun dengan adanya teknologi moden dalam penghasilannya namun rasanya tidak sama dengan cara pembuatan tradisional. Kebiasaannya, kacang hijau yang menjadi bahan asas dikisar menggunakan mesin berbanding kaedah zaman dahulu kala menggunakan penumbuk kayu atau lebih dikenali sebagai lesung kaki.

Tapi bagi sesetengah orang, kuih ini mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Jadi ada sesetengah orang masih menghidang kuih ini pada tetamu dan sangat nostalgik.

2. Halwa Maskat

Halwa maskat merupakan sejenis kuih manisan yang sangat popular di Utara tanah air terutama di Pulau Pinang. Kuih ini bukan berasal dari Malaysia, dipercayaai berasal dari sebuah daerah di Oman.

Bagai mana kuih ini mendapat nama dan boleh tersebar di negara kita tidak dapat dipastikan. Namun dipercayaai telah dibawa oleh para pedagang zaman dahulu.

Cara pembuatan kuih ini tak ubah seperti dodol di negara kita. Bagi memastikan kuih ini enak dan sempurna ia perlu menjaani proses mengacau selama hampir 5 jam.

Kuih ini secara tradisinya dihidangkan pada acara tertentu terutama pada hari raya. Kuih ini jarang terjual di pasaran dan ia menjadi salah satu faktor generasi sekarang tidak mengenali halwa maskat. Namun kuih ini sangat tua dan seiring dengan sejarah negara kita.

3. Agar-agar kering

Agar-agar kering pada asasnya dibuat daripada agar-agar manis yang telah dikeringkan. Agar-agar kering biasanya dibuat pelbagai warna agar menarik dan dijemur separa kering menjadikan ia tidak mudah rosak dan tahan lama.  Lebih dari satu warna dihasilkan dan daun pandan digunakan bagi menimbulkan bau wangi.

Kemudian apabila agar-agar telah menjadi keras, agar-agar tersebut akan dipotong pada saiz potongan yang bersesuaian. Saiz potongan tersebut biasanya akan berkurangan selepas dijemur apabila agar-agar tersebut kehilangan air dan berubah menjadi agar-agar kering.

Agar-agar kering yang baik biasanya mempunyai rupa berkaca, disebabkan kandungan gula yang mengeras dikelilingnya. Ia mempunyai rasa yang rangup di habagian luar dan lembut di dalam.

Agar-agar kering biasanya jarang dihasilkan dan hanya dibuat bagi acara istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri.

4. Pulut kacau atau Pulut Wajik

Pulut wajik ini ada disebut dalam lirik lagu raya. Tetapi kuih yang sangat popular dikalangan orang-orang tua. Proses membuat pulut wajik atau dikenali sebagai pulut kacau oleh orang utara ini sama rumitnya dengan pembuatan dodol.

Tetapi tak semua generasi sekarang yang gemar makan pulut wajik. Pulut wajik banyak dihidangkan dalam acara khas seperti perkahwinan. Pulut wajik lazimnya dibuat secara bergotong-royong.

5. Kuih Loyang

Kuih loyang atau juga dikenali sebagai kuih ros dan kuih goyang merupakan sejenis kuih tradisi India  yang diperbuat dari tepung beras yang digoreng dalam minyak masak. Kuih ini juga terkenal dikalangan masyarakat Melayu dan Cina.

Kuih ini dinamakan kuih goyang kerana selepas acuannya dicelup dalam adunan tepung cair, kuih ini dicelup ke dalam minyak yang panas dan digoyang-goyangkan agar tanggal.

Nama ros pula sempena bentuknya menyerupai bunga. Nama loyang pula mungkin kerana acuannya diperbuat daripada logam loyang.

Walaupun kuih-kuih raya moden semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat terutama generasi muda, adalah perlu untuk kita tidak melupakan kuih-kuih tradisional agar ia tidak pupus ditelan zaman.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Apa Ada Dengan Wonder Cheese?