Ekoran tragedi menyayat hati mengenai kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat semalam, pelbagai topik hangat diperkatakan mengenai kejadian di semua laman media sosial.

Terdapat lima topik hangat yang paling hangat diperkatakan serta menyentuh hati semua pihak iaitu topik mengenai punca kebakaran, imbau tragedi lama, coretan mangsa kebakaran, kebumi satu liang lahad dan terdapat pandangan berbeza dari seorang hos terkenal.

BACA: Lebih 20 Pelajar Tahfiz Terkorban

1. Punca kebakaran

Sumber dari bharian.com.my

Menurut Berita Harian, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata siasatan mendapati punca kebakaran bukan berpunca dari litar pintas.

Malah, Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga turut mengesahkan litar elektrik pada suis utama bangunan tersebut berada dalam keadaan baik.

“Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak,” lapornya kepada Bernama.

2. Kebakaran imbau tragedi Pondok Pak Ya

Sumber dari mstar.com.my

Berikutan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz ini, ia dikatakan menjadi kes kebakaran sekolah tahfiz kedua terbesar di negara ini selepas Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau dikenali sebagai Pondok Pak Ya.

28 tahun lalu, seramai 27 pelajar perempuan Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah terkorban dalam kebakaran apabila lapan buah asrama terbakar.

Punca kebakaran itu dikenalpasti berpunca dari lilin dibakar oleh pelajar untuk mengulangkaji pelajaran yang tidak dipadam seterusnya membakar tilam hingga api marak dengan cepat.

Kejadian menyebabkan ramai pihak mempersoalkan mengenai penggunaan tilam yang diperbuat daripada bahan ‘polyurethane foam’ ekoran mangsa dijumpai meninggal dunia atas dan berhampiran tilam jenis itu, lapor mStar.

3. Coretan mangsa korban yang menyayat hati

Sumber dari hmetro.com.my

Sementara itu, Harian Metro menyatakan sepucuk surat yang diberikan oleh salah seorang pelajar Tahfiz yang terkorban kepada ibunya seolah-olah dapat membayangi bahawa dirinya akan ‘pergi’ serta meminta maaf kepada kedua ibu bapanya sehari sebelum kejadian.

“Ibu dan ayah Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu ayah Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini,” tulis mangsa, Amiel Asyraf Abdul Rashid, 11 tahun.

“Amiel tak tahu macam nak balas jasa budi ayah dan ibu hanya ini saja yang Amiel mampu masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga Firdaus,” demikian kata-kata terakhir dari surat tersebut.

4. Kebumi satu liang lahad

Sumber dari hmetro.com.my

Jika mendapat persetujuan semua waris mangsa terkorban, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu jenazah mangsa-mangsa yang terkorban akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Karak.

Selain itu, seorang kaunselor disediakan untuk setiap keluarga mangsa bagi memastikan emosi dan psikologi keluarga mangsa stabil dari trauma akibat kejadian tersebut.

Malah, dia turut meminta keprihatinan dan rasa tanggungjawab rakyat Malaysia agar tidak menyebarkan gambar-gambar mangsa tragedi itu.

“Dengan rasa amanah dan tanggungjawab, tolonglah jaga sensitiviti keluarga dan hormati jenazah. Jika berlaku pada keluarga kita sendiri ia pasti meruntun perasaan kita,” katanya kepada Harian Metro.

5. Hos terkenal beri pendapat berbeza mengenai tragedi

Sumber dari twitter.com/NazrudinRahman

Pengetua Pusat Tahfiz, Muhammad Zahid Mahmod menganggap mangsa-mangsa yang terkorban sebagai mati syahid, namun mendapat pelbagai reaksi dari beberapa pihak.

Dalam status Twitter, seorang pengacara, Nazrudin Rahman tidak menyenangi kenyataan dibuat oleh pengetua berkenaan dan menyatakan bahawa mereka meninggal kerana mentaliti yang tidak hiraukan piawaian dan tiada ciri-ciri keselamatan.

Sumber dari twitter.com/NazrudinRahman

Nazrudin turut mengatakan ini bukanlah isu mengenai mati syahid, namun mengenai isu kecuaian hingga membawa maut.

Diharap orang ramai tidak memberi kenyataan yang mengguris perasaan keluarga mangsa atau berkongsi gambar-gambar mengenai kejadian ini di laman sosial agar dapat menjaga perasaan keluarga mangsa yang sedang berdukacita atas kehilangan anak mereka.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Bubur Ayam Ganja Dibalik Tak Tumpah? | Bandung Part 03