Kisah Baju Sekolah & UPSR Yang Menyentuh Hati
Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru sahaja bermula semalam bagi semua murid Tahun 6 di seluruh Malaysia, namun masih ada pihak yang mengalami kesukaran untuk menduduki peperiksaan penting itu kerana sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
BACA: Jual Telur Ayam Demi Tampung Belanja Sekolah Tahfiz
Seorang murid Orang Asli Tahun 6 yang merupakan calon UPSR di Sekolah Kebangsaan Paya Bungor, Kuantan, Pahang tidak dapat hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan tersebut kerana pakaian sekolahnya basah.
Pelajar yang dikenali sebagai Noraina, 12 tahun itu bernasib baik kerana mempunyai dua orang guru yang prihatin mengenainya dan sanggup pergi ke rumahnya untuk membawanya ke sekolah seterusnya memastikan dia dapat menduduki peperiksaan UPSR seperti pelajar-pelajar lain.
Guru Besar SK Paya Bungor, Baharnizam Baharudin turut memberitahu dua guru yang menolong pelajar itu ialah guru penolong kanan (pentadbiran), Mohd Ali Hanafiah dan guru Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Khairul Nizam Aseh.
“Noraina ada pasangan kembar di sekolah. Adiknya beritahu dia tidak hadir ke sekolah kerana baju sekolahnya basah,” ujarnya sambil menjelaskan mereka menyedari Noraina tidak hadir ke sekolah ketika perhimpunan sekolah pada pukul 7.15 pagi.
“Kami bergegas ke rumahnya untuk memastikan dia turut menduduki UPSR. Kita maklumkan kepada pengawas peperiksaan terlebih dahulu mengenai murid ini,” katanya.
“Jadi, bukanlah murid berkenaan tak ada baju sekolah, cuma bajunya tak sempat kering. Bagaimanapun, dua guru kami bantu mendapatkan baju ganti untuknya,” sambungnya sambil memberitahu punca baju sekolah murid itu basah kerana ia disidai di luar rumah dan kemudian hujan lebat di kawasan rumahnya menyebabkan baju itu tidak sempat kering.
“Nawaitu kami adalah memastikan setiap murid berpeluang untuk berusaha mencapai kejayaan dalam hidup. Kami beri sokongan kepada dia,” tambahnya lagi.
“Alhamdulillah, murid berkenaan sempat menduduki UPSR bersama rakan-rakannya. Dia bersemangat datang ke sekolah, pakai baju yang dipinjam daripada jirannya,” katanya.
“Pendidikan adalah penting buat setiap murid dan kita mahu mereka menjadikan peperiksaan sebagai pengalaman berguna untuk mencapai kejayaan,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.
Tidak semua orang bernasib baik dan ada yang bersusah payah berusaha untuk mendapatkan ilmu demi masa depan yang cerah. Belajar rajin-rajin sementara anda mempunyai peluang untuk belajar dan membalas jasa guru-guru serta keluarga anda.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Apa Benda Yang ‘Merecik’ Sangat Ni?
- SUMBER
- MSTAR