“Adam Tidur Dulu Ya, Nanti Kita Jumpa Di Syurga”
“Kita mengharapkan yang terbaik kepada Adam Rayqal tetapi Allah lebih sayangkan dia. Insya-Allah, Adam tunggu kami di syurga.”
Itu adalah luahan seorang ayah, yang telah kehilangan seorang anak syurga bernama Adam Rayqal. Kenangan bersama Adam pasti amat dirindui oleh ibu bapa serta ahli keluarga yang lain.
Tiada lagi tangisan Adam, seorang bayi comel yang mana kematiannya disifatkan sangat tragis. Pristiwa yang berlaku telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia. Adam meruntun setiap jiwa yang mengikuti kisah Adam.
Apa sebenarnya yang berlaku? Mengapa bayi seawal usia 5 bulan diperlakukan sedemikan? Kami senaraikan 5 fakta ringkas berkaitan kes Adam Rayqal.
1. Kronologi
3 Julai bermulanya kisah Adam Rayqal Mohd Sufi apabila bapanya memuat naik satu status di Facebook mengatakan Adam dilarikan oleh seorang lelaki di rumah pengasuhnya pada jam 6.30 petang.
Status bapa Adam mendapat 73 ribu perkongsian di Facebook. Rata-rata netizen terkejut dan berita tentang kehilangan Adam tersebar meluas atas keperihatinan orang ramai.
Bapa Adam Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28 tahun, berkata kehilangan anaknya Adam Raikal dimaklumkan oleh isterinya Farah Madiha Othman, 28 tahun, kira-kira jam 7 malam.
Pada petang itu pengasuh memaklumkan kepada ibu Adam bahawa Adam telah dibawa pulang oleh bapanya, walhal bapa Adam belum mengambil Adam pulang.
Jam 11 malam polis merakam keterangan dari ibu dan bapa adam. Polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun selepas siasatan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuhnya.
2. Mayat Adam ditemui di rumah pengasuhnya
Namun Tuhan lebih sayangkan Adam. Persoalan yang menghantui ibu bapa Adam sudah terjawab. Rakyat Malaysia yang prihatin berhenti mencari Adam. Berita yang meruntun jiwa menyelubungi malam.
Mayat Adam Rayqal yang lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ke dalam peti sejuk telah ditemui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan. Mayat Adam dibawa ke HKL untuk bedah siasat.
Dalam keterangan yang diberikan oleh suspek yang juga warga tempatan sebelum ini mendakwa Adam tersedak susu.
Namun kebenaran berpihak pada Adam. Hasil bedah siasat mendapati mayat Adam mempunyai kesan retakan pada tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan dalam otak.
Siasatan masih dijalankan sama ada Adam dipukul, dihempas atau terjatuh semasa dalam jagaan pengasuh. Tiada sisa susu ditemui pada kerongkong Adam.
Baca: Bayi Hilang Ditemui Mati Dalam Peti Sejuk Pengasuh
3. Media sosial menangis
Kisah Adam mendapat liputan meluas di media sosial, rata-rata netizen mengikuti kisah Adam dari awal sejak Adam dilaporkan hilang hingga ke perjalanan terakhir Adam
Iringan doa dan kata-kata semangat membanjiri mana-mana portal berita yang melaporkan kisah Adam.
Kisah Adam turut mendapat perhatian dari pelbagai pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamda al-Bakri.
Dalam satu status di laman rasmi Facebook beliau turut memberikan ucapan takziah dan kata-kata semangat pada ibu bapa Adam. Beliau dalam pada itu telah memetik satu hadis:
Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah SAW yang akan melegakan diri kami atas kematian dua anak kami?” Abu Hurairah menjawab: “Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga.” (Riwayat Muslim, no: 2635)
Kisah Adam juga mendapat perhatian dari selebriti tanah air, antaranya Fizoo Omar, Wany Hasrita dan Lisa Surihani.
Fizoo Omar dalam gambar yang dimuat naik di Instagram turut meluahkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku ke atas Adam.
Netizen turut meluahkan rasa sedih, tak kurang juga ada yang marah pada si pelaku. Mereka mengharapkan agar si pelaku mendapat hukuman yang setimpal di atas perbuatan itu.
4. Moga Adam kes yang terakhir
Apa yang terjadi pada Adam bukanlah kali pertama. Saban tahun masih ada kes-kes kematian bayi berlaku akibat kecuaian manusia.
Kecuaian seperti tersedak susu kerap kali berlaku dan berakhir dengan kematian. Adalah amat penting satu standart di perkenalkan bagi menetapkan supaya pengasuh benar-benar layak untuk diberi tanggungjawab sebagai pengasuh.
Nasib bayi dan kanak-kanak yang di bawah tanggungjawab pengasuh perlu dibela dan dilindungi supaya tiada lagi kes seperti Adam berulang kembali.
Banyak pihak harus memainkan peranan bagi memastikan kes sama tidak berulang. Perkara ini turut diulas oleh Timbalan Perdana Menteri dalam satu temuramah oleh Astro Awani:
“Perlu ada undang-undang atau peraturan tertentu untuk memastikan pengasuh ini bertanggungjawab dan perlu ada standard tertentu di mana mereka perlu dilatih secukupnya untuk menjaga bayi,” Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah juga berkata kejadian itu menjadi peringatan akan perlunya pemantauan dilakukan terhadap pusat jagaan swasta atau individu yang menjadi pengasuh.
Beliau juga menambah, di sebalik kematian bayi Adam Rayqal Mohd Sufi boleh disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan dilihat dirancang lebih awal, kes itu perlu dikendalikan secara adil bagi semua pihak yang terlibat dalam kejadian itu.
5. “Tidurlah Adam, bersenang-senanglah di syurga
Jenazah Adam dipangku oleh ibu Adam dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di rumah datuk Adam di Kuala Terengganu.
Perjalanan yang mengambil masa selama 6 jam merupakan perjalanan terkahir Adam dalam dakapan ibunya.
Adam selamat disemadikan kira-kira jam 10.30 malam Rabu di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.
Hampir 1000 orang hadir pada malam itu. Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Samsuri Mokhtar. Sambil mengucapkan takziah pada keluarga Adam, beliau juga berharap siasatan menyeluruh dijalankan dan mendoakan agar kejadian seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.
Semua orang sayangkan Adam. Seluruh jiwa merasai pemergian Adam. Moga tiada lagi kisah seperti Adam. Cukup hanya Adam sebagai penamat cerita ini.
Kami dari Vitdaily ingin merakamkan ucapan takziah pada keluarga Adam. Mengapa kisah Adam begitu istimewa? Kerana Adam adalah tanda kecintaan dan Kebesaran Nya.
Artikal Berkaitan:
Tak Semua Pengasuh Jahat, Masih Ramai Sayang Macam Anak Sendiri
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Puas Hati Pekena Kambing Bakar Kat Setapak Ni
Sumber: Astro Awani,