Pada masa kini, walaupun kita mempunyai sistem penjagaan kesihatan dan standard kebersihan yang lebih baik, penyakit masih lagi wujud.

Penjagaan kesihatan dan kebersihan yang lebih baik mengurangkan penyebaran penyakit tetapi ia masih belum mencukupi untuk menghapuskan penyakit sama sekali.

Ini kerana kebanyakan penyakit disebarkan dari seseorang kepada orang lain. Kanak-kanak lebih mudah terjejas akibat penyakit-penyakit ini.

Bayi antara yang sangat mudah terjejas oleh penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin kerana sistem imun mereka masih belum berkembang sepenuhnya.

Vaksin membantu menguatkan sistem imun anak anda untuk melindungi mereka daripada komplikasi yang boleh membahayakan nyawa.

Oleh sebab itu, Program Imunisasi Kebangsaan (jadual imunisasi kanak-kanak) mengesyorkan agar kanak-kanak diberi vaksin semenjak lahir dan seterusnya.

Namun ada segelintir ibu bapa yang tidak mahu memberikan suntikan vaksin pada anak mereka, umum mengetahui golongan yang digelar sebagai anti vaksin ini wujud di negara kita.

Yang akan menanggung akibat adalah anak mereka sendiri dan mungkin akan membahayakan orang lain. Terbaharu satu kes kematian bayi akibat dijangkiti oleh penyakit yang membawa maut.

Kementerian Kesihatan sahkan satu (1) kes kematian disyaki akibat jangkitan Difteria

Dalam satu kenyataan yang di keluarkan semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kejadian satu (1) kes kematian disyaki akibat jangkitan Difteria di daerah Johor Bahru pada 15 Oktober 2018.

Kes yang dilaporkan merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan. Pesakit tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarga enggan menerima imunisasi.

Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Oktober 2018 dan telah dibawa oleh ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober 2018.

Keesokan harinya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit dimasukkan ke wad kanak-kanak dan seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Oktober 2018 kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 15 Oktober 2018 akibat Severe Diphtheria with multiorgan failure.

Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak pesakit menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan ujian pengesahan makmal.

Apa itu penyakit Difteria

Penyakit difteria merupakan jangkitan kuman bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak (farinks / kerongkong), dengan kemungkinan berlaku komplikasi bakteremia dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga boleh membawa maut.

Tindakan yang telah dijalankan bagi membendung penularan jangkitan ini adalah termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi, dan pendidikan kesihatan. Sehingga hari ini tiada kes baru dilaporkan kepada kementerian kesihatan.

Ibu bapa di minta tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual

Dalam kenyataan media itu juga KKM menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, measles, mumps dan lain-lain.

Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan komuniti.

Kepada ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka perlu tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Bagi kanak – kanak yang telah tercicir suntikan, mereka masih boleh mendapatkan perkhidmatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Sambal Ikan Bakar Kat Sini Memang Meriah! 😱😱

Sumber: kpkesihatan.com