Tiga hari lepas, seorang murid tahun enam meninggal dunia dipercayai akibat disengat tebuan dalam kejadian di Kampung Tanjung Genting.

Kematian yang sangat tidak disangka itu mewujudkan seribu persoalan bukan sahaja tentang kehilangan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa malah mengenai tebuan tersebut yang selalu dianggap sebagai serangga biasa oleh kebanyakan orang.

Kematian akibat disengat tebuan sering berlaku di negara kita, justeru adalah penting untuk mengetahui kaedah rawatan awal yang perlu dilakukan jika terkena sengatan tebuan.

Bisa tebuan kunyit boleh membawa maut

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian 5.15 petang itu, Mohd Faiz Hatim Zaidi, 12, dipercayai diserang tebuan bersama empat rakannya yang lain.

Cyril berkata, Mohd Faiz disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Mersing manakala seorang lagi rakannya masih ditahan di hospital sama untuk rawatan lanjut. Beliau berkata, tiga lagi mangsa selamat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tebuan tergolong dalam keluarga Order Hymenoptera, daripada keluarga Vespidae yang terdiri dari lebih 5,000 spesies tebuan dan serangga lain.

Spesies utama di Malaysia ialah Vespa tropica iaitu tebuan kunyit yang membuat sarang daripada cebisan-cebisan tumbuhan yang dilumatkan menjadi seperti kertas di dalam hutan tebal.

Dalam satu rencana yang dikeluarkan akhbar Kosmo!, telah menemui seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dari Bahagian Kawalan dan Gangguan Hidupan Liar, A. Morganasunderam, 51, beliau telah menerangkan beberapa perkara mengenai bahaya tebuan kunyit.

Menurut beliau, seperti tebuan tanah, ia juga sangat beracun dan sengatan amat menyakitkan. Tebuan kunyit mudah dikenali pada warna kuning dan berbelang pada badannya dan ia boleh membesar sehingga lebih empat sentimeter (sm).

Sengatan tebuan kunyit memang berbahaya. Seseorang yang terkena sengatannya perlu mendapatkan rawatan segera, terutama kalau melibatkan kanak-kanak.

Jika racun yang dilepaskan, walau setitik, mampu meninggalkan kesan seperti bengkak teruk selain melemahkan badan jika melibatkan orang dewasa.

Akan tetapi jika kanak-kanak disengat tebuan, racun tersebut mampu menjejaskan daya ketahanan selain kesan bengkak yang pedih pada bahagian atau anggota tubuh yang disengat.

Jika sengatan itu pada sistem saraf atau saluran darah seperti di bahagian muka, ia memang serius dan mangsa perlu dibawa segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Jika terlambat, maut boleh terjadi.

Menekap tempat yang terkena sengatan dengan ais

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kanak-kanak, Dr. Chin Wai Seong, berpendapat, sengatan tebuan pada seseorang manusia dewasa atau kanak-kanak sebenarnya tidak serius kecuali beberapa faktor tertentu.

Menurutnya, sesuatu yang tidak boleh diabaikan, sama ada mangsa itu orang dewasa mahupun kanak-kanak, adalah tindakan kecemasan pertama.

Tindakan pertama adalah dengan meletakkan ais atau air sejuk di tempat sengatan itu untuk membekukan tempat sengatan seterusnya menghalang racun itu merebak dalam tempoh tertentu.

Langkah kedua selepas meletakkan ais atau air sejuk adalah mereka perlu membawa mangsa ke klinik kesihatan berhampiran dalam masa dua jam untuk mengelak racun itu merebak ke anggota badan dan bercampur dalam darah.

Di klinik, mangsa akan diberi ubat sapu untuk bengkak dan mengurangkan gatal dan ia seharusnya memadai bagi mengatasi masalah ini.

Namun bagi kes yang lebih serius, langkah rawatan kecemasan pertama di klinik atau hospital adalah pemeriksaan reaksi dan kesan serius alergi. Antara simptom yang diperiksa adalah keadaan mata yang bengkak, demam panas, gatal-gatal dan badan yang lemah.

Sekiranya tanda-tanda itu dikenal pasti, doktor akan memeriksa tekanan darah, membuat ujian darah, memeriksa paru-paru dan sistem antibodinya sebelum bertindak memberi suntikan dan tindakan sewajarnya.

Kematian akibat disengat seekor tebuan adalah bukti nyata betapa rawatan segera tidak boleh dipandang ringan. Secara teorinya, kelemahan daya ketahanan dan kesan alergi mangsa itu sendiri telah mengorbankan nyawanya.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Lubuk Ketam Di Setapak 🔥🔥🔥

Sumber: Kosmo!