Baru-baru ini viral di media sosial video seorang lelaki tua uzur berjalan menggunakan tongkat menjual kerepek bersendirian sehari sebelum sambutan Aidiladha di kawasan sekitar Jitra, Kedah. Video tersebut bukan sahaja mengundang simpati orang ramai malah mencetuskan kemarahan netizen kerana pakcik itu dikatakan dihantar oleh anaknya untuk berniaga.

Bagaimanapun anak kepada warga emas berkenaan kemudian tampil mendedahkan perkara sebenar susulan dirinya dikecam teruk selepas video tersebut tular di media sosial.

BACA: “Tergamak Anak, Esok Nak Raya Hantar Ayah Jual Kerepek”

Menurut Aisyah Sudin, warga emas OKU di dalam video tersebut merupakan bapa tirinya, Azmi Che seorang peniaga kerepek dan kuih. Aisyah mendedahkan, dia adalah wanita atau anak yang dimaksudkan di dalam video tersebut.

“Itu memang bapa tiri saya, dan wanita yang dirakam dari jarak jauh tu adalah saya bersama seorang rakan. Memang ayah saya berniaga kerepek dan kuih.

“Ayah dah lama berniaga sejak bersama arwah ibu lebih 10 tahun. Jadi, berniaga tu memang dia yang nak, bukan saya yang paksa. Dah nasihat pun ayah masih ketegaq, takkan saya kena ikat kaki dia,” katanya kepada mStar Online.

Aisyah merupakan keempat daripada enam beradik itu turut mengakui bahawa bapanya kini dalam keadaan uzur berikutan demam kepialu yang dihidapinya kira-kira 30 tahun lalu.

Katanya Aisyah lagi, dia pernah menasihatkan bapanya itu supaya tidak lagi berniaga atas faktor kesihatan, tetapi bapanya tetap berkeras untuk berniaga dan sebagai anak, dia perlu mengikut kemahuan itu. Jelasnya lagi, bapanya tidak mahu diikut ketika berniaga sehingga menyebabkan dia terpaksa memantau bapanya dari jauh.

“Kalau saya tak hantar (pergi berniaga), dia akan minta tolong kawan-kawan dia hantarkan. Saya risau pula kalau nanti dia seorang kat tepi jalan. Jadi, saya kena hantar dia ke tempat yang dia nak berniaga, lebih selamat dan mudah saya tahu pergerakan dia di mana-mana,” katanya.

Sementara itu, warga emas tersebut, Azmi Che mengakui dia sebenarnya yang mahu berniaga bersendirian dan bukannya dipaksa oleh anak-anak.

“Saya memang suka berniaga, macam-macam saya dah berniaga dulu. Jadi, saya bosan kalau duduk saja kat rumah tak buat apa-apa. Lebih baik saya keluar pergi menjual. Memang saya lebih selesa berniaga sendiri, tak nak anak mengikut saya ke sana sini,” katanya.

Dalam pada itu, Aisyah meminta supaya pengguna Facebook yang memuat naik video tersebut supaya memadamkannya di media sosial.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Lubuk Nasi Ngidey Resepi 4 Generasi 🔥🔥